'Selesaikan isu tanah, majukan potensi komoditi durian' - KEADILAN



Pertikaian tanah antara pekebun durian Musang King dan Kerajaan Negeri Pahang tidak wajar dipanjangkan sehingga menjejaskan sektor peladangan durian.


Bagi pemimpin KEADILAN, sektor perladangan durian yang telah menghasilkan gred premium Musang King dan mendapat sambutan luar biasa di negara China tidak wajar diganggu gugat dengan kemelut pemilikan tanah seperti yang berlaku hari ini.


Kemelut, kata mereka, hanya akan merosakkan pasaran dan menjejaskan industri durian negara pada jangka masa panjang.


"Demi memajukan industri durian maka sebarang permasalahan antara pihak kerajaan negeri, petani dan pihak korporat harus diselesaikan secara adil dan harmoni tanpa sebarang penindasan demi kestabilan industri yang baru sahaja berkembang maju.


"Kami juga menolak persepsi sesetengah pihak bahawa ini adalah isu perkauman. Kami dapati pekebun-pekebun yang terlibat terdiri daripada pelbagai bangsa. Ada pekebun Melayu yang terlibat. Maka, isu ini tidak harus dilihat dengan kanca mata perkauman, ia seharusnya dilihat sebagai isu kemanusiaan dan masalah petani.


"Masalah tanah yang dihadapi oleh pekebun Durian di Raub bukan unik. Ia juga dihadapi oleh petani pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit, padi, sayur-sayuran, ternakan ayam, lembu dan sebagainya di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Malah di merata dunia, petani juga hadapi masalah yang sama.


"Maka KEADILAN menyeru Kerajaan Negeri Pahang mengambil sikap terbuka dan berperi kemanusiaan menangani masalah antara pekebun dengan syarikat besar dalam operasi pemutihan tanah. Kerajaan negeri harus ingat No Farmers, No Food," kata mereka kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi MPN KEADILAN Pahang Fuziah Salleh, Pengerusi Biro Pertanian KEADILAN Pusat Sim Tze Tzin dan ADUN Teruntum Sim Choon Siang.


Menurut mereka, Kerajaan Negeri harus mengambil langkah proaktif menjadi pemudahcara antara pihak pekebun kecil dan syarikat supaya mencapai situasi menang-menang.


Manakala untuk para pekebun, pemimpin KEADILAN merakamkan rasa simpati terhadap masalah yang dihadapi. Walau bagaimanapun, mereka menyeru supaya pekebun bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk mencapai situasi menang-menang.


"Kami telah mencadangkan penubuhan koperasi pekebun-pekebun durian yang boleh dinamakan Koperasi Durian Pahang dan terbuka kepada pekebun pelbagai bangsa dan agama.


"Mereka boleh mengambil model Sunkist Growers Cooperative dari Amerika Syarikat atau Dutch Lady Cooperative dari Belanda. Di mana petani-petani kecil dan petani keluarga (family owned farms) bergabung meningkatkan mutu bagi menembusi pasaran dunia.


"Kami rasa syukur cadangan itu diterima secara positif oleh AJK SAMKA yang hadir bersama dengan semalam, termasuk pengerusinya En Chang.


"Tiba masanya pekebun kecil durian ini bergabung tenaga dan meningkatkan mutu, kualiti demi meningkatkan persaingan durian kita di pasaran antarabangsa," kata kenyataan itu lagi.


Sehubungan itu, KEADILAN menyeru semua pihak bertindak secara tenang, rasional serta membuka pintu perbincangan demi menyelesaikan masalah yang berbangkit.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio