Selesai konflik singkat: Bangga dengan ASEAN, Malaysia - Chean Chung
- Redzuan Shamsudin
- Aug 3
- 2 min read

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyuarakan rasa bangga terhadap peranan aktif Malaysia dalam menjayakan usaha damai antara Thailand dan Kemboja menerusi rangka diplomasi ASEAN.
Dalam catatan peribadi beliau semasa menghadiri Sesi Pendengaran Parlimen Antarabangsa di Bangkok, Chean Chung berkongsi detik menyentuh hati ketika terlihat majalah tempatan yang memaparkan wajah tiga pemimpin utama: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham, dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
"Meskipun saya tidak memahami bahasanya, wajah tiga pemimpin yang menghiasi kulit depan majalah tersebut amat saya kenali, (iaitu) Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut Chean Chung, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai pemudah cara, membina ruang dialog dan diplomasi yang membawa kepada gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran itu dalam masa singkat.

"Saya amat memahami betapa rumitnya menguruskan krisis antara negara. Setiap pihak pasti merasakan kebenaran berpihak kepada mereka, dan naratif inilah yang sering dimanipulasi menjadi senjata retorik untuk memburukkan lawan atas nama negara bangsa
"Saya sangat tersentuh melihat kecekapan Malaysia yang segera mengambil inisiatif menganjurkan dialog di bawah kerangka ASEAN," ujarnya.
Chean Chung turut menekankan bahawa langkah tersebut mencerminkan nilai sebenar ASEAN yang berpaksikan kejiranan, musyawarah dan persefahaman, dan menjadi contoh bagaimana konflik boleh diselesaikan secara damai tanpa campur tangan luar.
"Inilah semangat ASEAN yang sebenar—semangat kejiranan yang mendorong usaha mendamaikan perselisihan dan menyelesaikan konflik melalui musyawarah," katanya lagi.
Beliau berharap Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Kemboja dan Thailand yang akan diadakan di Malaysia minggu hadapan akan terus memperkukuh hasil awal yang telah dicapai.
Comments