
Sejak mentadbir Terengganu pada Mei 2018, Pas dan Umno dilihat gagal memacu pertumbuhan ekonomi apabila menjadi salah satu daripada tiga negeri tercorot dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Ini boleh dibuktikan menerusi Laporan Poket Stats Negeri Terengganu Suku Ketiga 2019 oleh Jabatan Perangkaan yang menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK mencapai 2.5 peratus sahaja.
Pertumbuhan KDNK yang rendah itu boleh disifatkan sebagai tidak masuk akal kerana belanjawan negeri adalah sebanyak RM1.996 bilion pada 2018 dan RM2.015 bilion pada 2019.
Peruntukan belanjawan negeri itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kerajaan negeri Perak yang memperuntukkan RM1.17 bilion pada 2018 dan RM1.06 bilion pada 2019.

Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu, Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif berkata pertumbuhan KDNK Terengganu juga jauh lebih rendah daripada beberapa negeri lain.
"Purata KDNK Malaysia adalah 4.7 peratus dimana terdapat enam buah negeri yang berjaya melepasi paras nasional termasuk Perak yang mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.3 peratus.
“Angka ini menunjukkan kerajaan Terengganu memperuntukkan perbelanjaan yang besar, iaitu 100 peratus lebih tinggi berbanding Perak dalam mengurus negeri tetapi penghasilan KDNK Terengganu adalah 100 peratus lebih rendah berbanding Perak,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Syed Mohd Al-Amin menganggap kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan yang bersungguh-sungguh mahupun pelan efektif dalam mempertingkatkan daya saing ekonomi negeri.
"Walaupun Terengganu adalah negeri yang kaya dengan hasil sumber asli yang banyak dan pelbagai terutamanya minyak dan gas, kerajaan Pas gagal membangunkan ekonomi negeri dan mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan kepada beribu-ribu graduan serta institusi teknikal yang ada di Terengganu.
"Dengan peluang pembangunan perniagaan yang terhad, peluang pekerjaan yang terbatas, pengangguran anak muda yang bertambah serta penghijrahan tenaga kerja ke negeri-negeri yang lebih maju, apa lagi yang boleh ditawarkan dalam iklim ekonomi Terengganu masa kini.
"Ekonomi Terengganu yang malap dan hampir tidak berdaya saing sudah tentu tidak akan menjadi pilihan utama kepada para pelabur luar untuk membuat pelaburan di negeri Terengganu," katanya.
Pada masa sama, Syed Al-Amin mengakui walaupun KDNK bukanlah pengukur kepada kemajuan negeri secara keseluruhan, namun beliau khuatir Pas sekadar mempergunakan imej Islam untuk menutup kelemahan dan kegagalannya mentadbir negeri.
"Rakyat lebih bernasib malang jika slogan Maju Berkat Sejahtera yang menjadi permainan dibibir pimpinan Pas Terengganu semata-mata untuk memperdayakan rakyat dengan pendekatan “islamik sejati” tetapi gagal menterjemahkan dan mengungkapkan kesejahteraan Islam yang sebenar secara realiti khususnya di bidang ekonomi.
"Hakikatnya, pimpinan kerajaan Pas Terengganu tiada komitmen dan pelan komprehensif berkesan untuk memperbaiki ekonomi negeri dan membiarkan keadaan pertumbuhan yang serendah 2.5% ini kekal tidak berubah.
"Rakyat Terengganu yang beragama Islam sentiasa yakin dengan laungan “Allahu-Akbar!” sebagai manifestasi kebesaran Tuhan Yang Maha Besar tetapi rakyat Terengganu juga boleh menilai kepimpinan kerajaan yang efektif, peduli rakyat atau sebaliknya.
"Semoga wabak Covid-19 yang melanda negara tidak dijadikan alasan pimpinan Pas Terengganu sebagai halangan untuk bangkit maju," katanya.
Comments