Selangor unggul dari segi kebolehpasaran hasil padi - DOSM
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Selangor muncul negeri dengan kadar jualan padi tertinggi negara apabila hampir keseluruhan hasil pengeluaran berjaya dipasarkan sepanjang tahun lalu.
Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun Kedah mendominasi keluasan jelapang padi dan pengeluaran hasil, Selangor menonjol dari sudut keberkesanan rantaian bekalan dan kebolehpasaran.
"Selangor menghasilkan 246,405 tan metrik padi setahun iaitu kedua tertinggi negara, selepas Kedah dengan 789,444 tan metrik.
"Kuantiti jualan padi di Selangor merekodkan 244,901 tan metrik (99.4 peratus), berbanding Kedah hanya 636,415 tan metrik iaitu 75.95 peratus," katanya menerusi Laporan Banci Pertanian 2024 yang disiarkan secara dalam talian.
Menurut laporan itu, Malaysia menghasilkan 2.19 juta tan metrik padi setahun daripada keluasan tanaman hampir 500,000 hektar.
Sektor tanaman padi menyumbang pendapatan RM3.84 bilion kepada ekonomi negara.
Di Selangor sektor padi disokong inisiatif inovatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memilih negeri itu untuk perintis kajian penanaman padi lima musim dalam dua tahun (5M2T) di Sawah Sempadan, Kuala Selangor.
Projek tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan IADA Barat Laut Selangor, melibatkan 214.9 hektar kawasan sawah dan penyertaan 141 pesawah.
Sementara itu Dr Mohd Uzir menerusi laporan tersebut menzahirkan kebimbangan terhadap kelangsungan industri penanaman padi negara.
Dengan sektor itu masih bergantung kepada tenaga kerja berusia 60 tahun ke atas, ia sekali gus menuntut pembaharuan berterusan bagi menjamin kelestarian industri makanan negara.









Comments