Selangor umum langkah segera tingkat keselamatan di sekolah
- Suara Keadilan

- Oct 17
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah susulan tragedi menyayat hati melibatkan seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata tragedi tersebut telah meninggalkan kesan trauma mendalam kepada rakan-rakan mangsa, terutama mereka yang menyaksikan kejadian itu sehingga menjejaskan kehadiran pelajar ke sekolah dalam beberapa hari kebelakangan ini.
"Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru dan pelajar terhadap tahap keselamatan di sekolah, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan khas bersama semua pihak berkaitan bagi memperingati mangsa dan memperkukuh aspek keselamatan sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara langkah pantas yang akan dipertimbangkan termasuk pendaftaran pelajar lebih ketat, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem notifikasi pintar yang menghubungkan ibu bapa dan guru secara terus, jelas beliau.
Amirudin berkata proses itu akan melibatkan perbincangan bersama Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.
"Insiden sebegini tidak boleh diberi ruang untuk berulang sama sekali. Sekolah mesti kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita," tegas beliau.
Dalam perkembangan lain Amirudin mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi program suntikan vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah terpilih susulan peningkatan kes penyakit itu dalam kalangan pelajar sekolah.
Jelas beliau empat daerah terbabit ialah Hulu Langat, Gombak, Klang, dan Petaling, dengan pelaksanaan dijangka bermula seawal minggu hadapan.
"Langkah ini diambil bagi mengawal risiko penularan penyakit Influenza A dalam kalangan pelajar dan memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan sihat dan selamat," katanya.
Program vaksinasi itu akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dengan kerjasama jabatan serta agensi berkaitan di peringkat daerah.
"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kesihatan pelajar secara berkala dan menilai keperluan untuk memperluas program vaksinasi tersebut ke daerah lain jika diperlukan," ujarnya.









Comments