Selangor umum bonus tiga bulan gaji penjawat awam negeri
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah tiga bulan gaji bagi penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian itu juga bertujuan memberi dorongan kepada seluruh penjawat awam agar terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan selaras aspirasi pentadbiran negeri yang memasuki era baharu pembangunan.
"Komitmen semua pihak amat penting untuk merealisasikan hasrat Selangor Juara. Bantuan ini adalah tanda penghargaan atas khidmat mereka.
"Satu bulan setengah gaji telah pun dibayar pada awal tahun ini, manakala baki satu bulan setengah lagi dengan kadar minimum RM1,000 akan disalurkan pada 18 Disember depan.
"Selain penjawat awam, BKK turut merangkumi pemimpin masyarakat termasuk Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya serta Penggerak Belia Selangor yang masing-masing akan menerima satu bulan elaun," katanya dipetik dalam sidang media semalam.
Terdahulu, Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2026 dengan tema “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera”, di Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan, petugas masjid di seluruh negeri turut menerima sumbangan RM500 melalui Menteri Besar (Pemerbadanan) sebagai sokongan terhadap peranan mereka mengimarahkan institusi masjid.









Comments