Selangor umum baucar buku RM200 kepada pelajar Tingkatan Enam
- Suara Keadilan

- Aug 26
- 1 min read

Kerajaan Selangor mengiktiraf Tingkatan Enam sebagai peringkat persediaan penting buat pelajar sebelum melangkah ke universiti.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai tanda sokongan, Kerajaan Negeri akan memperluas pemberian Baucar Buku #KitaSelangor bernilai RM200 kepada pelajar Tingkatan Enam.
"Selaras dengan Hala Tuju Pendidikan Negeri Selangor, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kualiti pendidikan melalui integrasi nilai murni serta usaha meningkatkan kesejahteraan murid dan memperkasakan guru.
"Sebagai langkah memberdaya komuniti pelajar Tingkatan Enam, saya mengumumkan inisiatif Baucar Buku #KitaSelangor berjumlah RM200 seorang, dikhaskan kepada pelajar yang menepati syarat kelayakan.
"Inisiatif ini adalah lanjutan daripada pemberian baucar buku sebelum ini yang hanya dikhususkan kepada mahasiswa kelahiran Selangor di universiti yang bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar dalam mendapatkan bahan bacaan tambahan sebagai persediaan menghadapi alam universiti," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan Enam Semester Satu 2025 di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Shah Alam pada Isnin.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof .
Pada majlis sama, Amirudin turut menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada 15 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 bagi Selangor.
Sementara itu, Amirudin menegaskan bahawa pentadbiran negeri sentiasa memberi keutamaan tinggi kepada bidang pendidikan, malah jumlah peruntukan kewangan terbesar akan disediakan dalam belanjawan negeri tahun depan.









Comments