Selangor umum bantuan kewangan tambahan setengah bulan gaji
- Suara Keadilan
- Mar 20
- 1 min read
Updated: Mar 20

Kerajaan Negeri Selangor bakal menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebagai tambahan daripada BKK sebulan gaji yang telah diumumkannya pada Belanjawan Selangor 2025 pada November tahun lalu.
"Keputusan menambah BKK itu berikutan kutipan hasil memberangsangkan Selangor dan akan diagihkan kepada penjawat awam di negeri itu selewat-lewatnya 15 April depan.
"BKK sebulan gaji akan diberikan pada 25 Mac ini dan yang tambahan akan dapat 15 April depan. Jadi, sebelum raya dapat sebulan gaji dan selepas raya dapat setengah bulan lagi.
"Kutipan hasil negeri amat memberangsangkan, RM691 juta direkodkan sehingga hari ini. Ia menunjukkan kerajaan negeri berada dalam landasan yang kukuh dari segi pencapaian ekonominya," katanya dipetik.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Mahabbah Ramadan Madani Menteri Besar Selangor bersama Penjawat Awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, pada Rabu.
Sementara itu Amirudin memaklumkan, kerajaan negeri akan menyalurkan Insentif Khas Raya sebanyak RM250 juga diberikan kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan di negeri itu dengan gaji RM3,000 ke bawah.
"Insentif ini akan dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, penyelia Wanita Berdaya, dan Penggerak Belia Selangor juga menerima setengah bulan elaun ataupun minimum RM500.
"Petugas masjid antaranya nazir, imam, siak dan bilal pula akan menerima RM500 yang akan disumbangkan melalui Menteri Besar (Pemerbadanan) MBI," katanya.
Comments