Selangor teruskan usaha kukuh sekuriti makanan, pacu ekonomi luar bandar
- Suara Keadilan
- Aug 4
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkukuh keterjaminan makanan negara dan memperkasakan ekonomi luar bandar melalui pelbagai inisiatif strategik berasaskan pendekatan pertanian moden dan lestari.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha tersebut selaras dengan hasrat untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang mampan, moden dan berdaya saing, dengan sektor agromakanan dijadikan teras strategik pembangunan.
"Projek Melon Selangor di Felda Sungai Tengi Selatan kini menjadi contoh kejayaan pertanian bernilai tinggi menerusi penggunaan sistem hidro-fertigasi moden.
"Di Sekinchan pula, Kerajaan Negeri memperkenalkan teknologi Internet of Things (IoT) dalam penanaman padi yang terbukti meningkatkan hasil tuaian dan kecekapan operasi di peringkat ladang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Amirudin turut berkongsikan usaha lain dilaksana Kerajaan Negeri termasuk pembangunan zon pertumbuhan baharu Selangor Integrated Landing Port (SILP) elalui SABDA (Sabak Bernam Development Area) yang menyasarkan pelaburan RM1.9 bilion serta membuka 3,600 peluang pekerjaan.
"Selangor turut menerajui pembangunan Gudang Makanan Selangor (GMS), pusat simpanan stok makanan pertama di Malaysia untuk beras, daging beku dan makanan asas lain, bagi menjamin bekalan semasa krisis dan mengawal harga makanan untuk rakyat," katanya.
Menerusi hantaran sama beliau memaklumkan kehadirannya ke Perasmian Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Kota Kinabalu pada Ahad.
Kehadiran ke program yang menghimpunkan pemain utama sektor agromakanan negara itu sebagai mencerminkan kesungguha Selangor untuk terus memperkasa sektor agromakanan negeri.
Comments