top of page

Selangor tekad pastikan kemakmuran ekonomi dinikmati rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
21 hours ago
1 min read
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Gambar arkib
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Gambar arkib

Kerajaan Selangor berhasrat merapatkan jurang ketidaksamaan gaji dan peluang ekonomi rakyat bagi memastikan kemakmuran Selangor dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan komitmen itu pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.


Menurutnya, cabaran utama ekonomi ketika ini bukan kekurangan modal, sebaliknya isu modal tertumpu kepada segelintir individu.


"Cabaran kita hari ini bukanlah kekurangan modal atau ekuiti kerana terdapat jumlah modal yang sangat besar di dunia.


"Masalah utama ialah sebahagian besar modal itu berada dalam tangan segelintir individu, sedangkan rakyat biasa perlu bekerja lima hingga enam hari seminggu untuk menampung kehidupan," katanya dipetik laporan media.


SIBS 2026 berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Oktober dengan menampilkan 526 reruai pameran serta penyertaan antarabangsa termasuk Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, India, Jerman, Amerika Syarikat dan Brazil.


Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN sementara itu berkata pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya hanya memberi manfaat kepada kelompok tertentu.


Justeru, usaha merapatkan jurang pendapatan penting bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri bergerak seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat.


"Keadaan ini perlu berubah dan matlamat utama Selangor adalah untuk merapatkan jurang ketidaksamaan, sama ada ketidaksamaan gaji atau peluang," tambahnya.


Menerusi ucapan sama, beliau turut menyeru kerjasama di peringkat ASEAN diperkukuh supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi secara lebih menyeluruh.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page