Selangor teguh pertahan Tanah Rizab Melayu - Menteri Besar
- Suara Keadilan

- Jul 8
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan penuh bahawa Tanah Rizab Melayu yang terlibat dalam projek pembangunan akan diganti bukan sahaja mengikut keluasan asal, malah lazimnya dengan tapak lebih besar dan nilai hartanah yang lebih tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kepentingan Bumiputera terus terpelihara sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan negeri dan Persekutuan.
"Kalau ambil empat ekar tanah, kita ganti 4.5 ekar, malah kadang sampai enam atau tujuh ekar. Ini dasar kita kerana ambil kira faktor nilai, tuntutan pembangunan dan demi melindungi kepentingan Bumiputera," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu semasa sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin sebagai menjawab soalan berhubung dasar penggantian Tanah Rizab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan.
Amirudin sementara itu menegaskan, tindakan untuk pembatalkan warta Tanah Rizab Melayu hanya dilakukan bagi projek kerajaan dan infrastruktur penting yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Contohnya projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Lebuhraya Pantai Barat (WCE), laluan ECRL serta pembangunan kawasan perindustrian strategik di Sungai Way.
"Kita batalkan warta ialah projek kerajaan dan infrastruktur yang memerlukan dan sangat strategik untuk dilaksanakan. demi kemudahan awam dan pembangunan negara.
"Kemudian, kita pastikan proses gantian ini dilaksana dengan segera supaya Tanah Rizab Melayu kekal terpelihara, dan malah jumlahnya sering kali melebihi tanah asal yang diambil," tegasnya.
Melalui dasar terkini khususnya selepas 2016, pentadbiran Selangor menetapkan pengambilan Tanah Rizab Melayu perlu diganti dengan segera bersekali dengan proses pembatalan warta, supaya tiada ruang untuk kepentingan Melayu terjejas.









Comments