
Oleh: Helmi Mohd Foad
Syarikat pemaju hartanah yang tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera akan disenaraihitamkan, tegas Exco Perumahan dan Warisan negeri Selangor.
Borhan Aman Shah berkata, Kerajaan Negeri ketika ini masih mengekalkan kaedah sedia ada dalam menentukan peraturan pemilikan kuota Bumiputera berdasarkan Pelan Tindakan Perumahan Negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan.
"Sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit bukan Bumiputera, maka proses kebenaran pindah milik secara menyeluruh atau 'blanket consent' tidak dapat diteruskan.
"Pemaju akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dikenakan denda yang lebih berat," katanya ketika menjawab soalan Michelle Ng (PH-Subang Jaya) berhubung penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Borhan berkata peraturan tersebut dikenakan ketika kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberian milikan tanah yang akan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS).
Tambah beliau sekiranya seseorang itu sudah membeli unit Bumiputera disebabkan ketidakpatuhan pemaju ketika proses penjualan terutamanya bagi pemaju yang telah muflis, pembeli dibenarkan membuat permohonan rayuan pengecualian atau pengurangan bayaran tujuh peratus atau 10 peratus pemulangan potongan harga Bumiputera.
Katanya, caj lima peratus dikenakan bagi pelanggaran mekanisme penyelenggaraan kuota Bumiputera dengan syarat pihak pemaju membuat permohonan pelepasan di LPHS.
"Rayuan itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk pertimbangan," katanya.