
Dalam usaha untuk memajukan sukan di Selangor, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN Selangor) dan Management Science University (MSU) serta MSU Medical Center (MMSUMC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) semalam ke arah berkerjasama memenuhi keperluan pembangunan dan penyelidikan sukan.
Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, MoU itu bertujuan antaranya melaksanakan penganalisaan data dan penyelidikan untuk kepentingan bersama.
"MSU akan memberikan latihan dan taklimat kepada MSN Selangor dalam bidang berkaitan kejurulatihan, pengurusan, teknikal dan kemahiran berfikir
"Dalam kerjasama ini, MSU dan MSN Selangor akan berkongsi hasil analisis serta penemuan baru melalui pembentangan di seminar, bengkel, persidangan dan penerbitan ilmiah
"MSU juga akan meningkatkan kebolehupayaan sumber dan modal insan MSN Selangor di MSU bagi program pasca ijazah dan pelaksanaan program khusus," katanya.
Menurut ADUN Paya Jaras itu lagi, MSU dan MSN Selangor turut akan melaksanakan kerjasama lain yang berkaitan dengan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam bidang pembangunan sukan.
Dengan MoU, kata Khairuddin, Kerajaan Negeri berharap persefahaman yang dizahirkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, seterusnya memastikan pembangunan sukan dan modal insan berjalan secara holistik dan inklusif bagi melahirkan atlet, pelajar, jurulatih, pengurus dan generasi muda yang berkaliber.
"Setinggi penghargaan kepada MSN Selangor dan MSU yang telah mencapai kesefahaman dan perkongsian bersama ini, seterusnya diharapkan usaha ini dapat mengekalkan status Selangor sebagai negeri peneraju kecemerlangan sukan," katanya lagi.