top of page

Selangor siap siaga hadapi ketidaktentuan geopolitik, fenomena El Nino

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 1 min read

Selangor berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat serta fenomena El Nino, dengan penekanan terhadap kerjasama semua pihak bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, negeri itu telah berdepan pelbagai krisis sejak 2020 termasuk krisis politik, kesihatan serta bencana banjir besar pada 2021, namun berjaya bangkit sebagai penyumbang utama ekonomi negara.


"Pada 2020, kita berdepan pelbagai krisis seperti krisis politik, krisis kesihatan dan pada 2021 kita berdepan dengan krisis alam apabila hampir semua daerah di Selangor dilanda banjir.


"Tetapi kerana daya tahan, kita terus bangkit dan menjadi penyumbang ekonomi terbesar negara pada 2024," katanya dipetik.


Tambah Amirudin, kedudukan Selangor sebagai tunjang ekonomi menuntut negeri itu bertindak pantas dalam mendepani sebarang cabaran semasa.


Justeru tegasnya semua pihak tidak boleh berasa selesa dalam situasi semasa, sebaliknya perlu bekerja lebih keras bagi memastikan ekonomi kekal stabil.


"Kalau kita patah, semua petunjuk ekonomi negara juga akan tunjuk kesan ekonomi yang buruk. Ini tanggungjawab nasional Selangor," tambahnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin turut memaklumkan bekalan makanan, bahan api dan barangan keperluan harian di Selangor masih mencukupi, meskipun berdepan kekangan diesel susulan konflik di Asia Barat.


Menurut beliau, kestabilan bekalan tersebut hasil langkah awal diambil kerajaan dalam menghadapi cabaran semasa.


"Isu ini bukan hanya terhad kepada Timur Tengah, tetapi turut memberi kesan langsung kepada bekalan tenaga negara dan seterusnya mempengaruhi harga barangan harian. Kita tidak boleh leka, jika situasi berlarutan kita perlu bersiap sedia dengan lebih rapi," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page