Selangor Rintis Jalan Tangani Isu Penempatan Pekerja Asing
- Suara Keadilan

- Feb 24, 2024
- 2 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Laporan yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2023 menunjukkan bahawa terdapat 2.7 juta orang pekerja asing yang berdaftar di Malaysia, jumlah tersebut masih memerlukan penambahan pekerja asing sebanyak 30 000 orang menurut mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.
Jumlah yang dibentangkan ini tidak termasuk jumlah pekerja asing yang masuk secara haram dan tidak berdaftar. Laporan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 2019 menunjukkan bahawa terdapat 588 327 orang pekerja asing berdaftar di Selangor, jumlah tersebut menjadikan sebahagian besar pekerja asing (1/5) bekerja dan menetap di Negeri Selangor berbanding negeri dan wilayah lain di Malaysia.
Jumlah pekerja asing yang tinggi di Selangor telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk tempatan, keadaan lebih meruncingkan apabila jumlah pekerja asing yang terlalu ramai menyebabkan sesetengah bandar di Negeri Selangor digelar sebagai Bandar Colombia. Kebanjiran warga asing ini menimbulkan beberapa masalah sosial seperti gengsterisme, kebersihan dan pelacuran.
Buka perkampungan sendiri
Keadaan lebih membimbangkan apabila pekerja asing yang menetap dengan tempoh yang lama di Selangor telah berani membuka perkampungan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa. Perkara ini bukan satu rahsia lagi apabila Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 2015 melaporkan bahawa 4 kawasan PBT melaporkan wujud perkampungan haram warga asing di kawasan mereka (MBPJ, MPAJ, MPSp, MDKL).

Perkampungan ini ditutup dengan zink di sekelilingnya bagi mengelakkan sebarang aktiviti dikesan pihak berkuasa. Laporan oleh Jabatan Imigresen Malaysia mendapati perkampungan tersebut dilengkapi dengan kemudahan elektrik, surau, warung makanan serta kedai runcit, manakala bekalan air diperoleh dari bukit dan perigi yang digali.
Keadaan ini sudah pasti menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk tempatan, malah pihak kerajaan juga sukar memantau kegiatan jenayah dan salah laku di dalam kawasan tersebut memandangkan mereka mempunyai ketua kampung dan undang-undang tersendiri. Keadaan ini membuatkan sebarang kesalahan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, malah perkampungan tersebut terus berkembang dengan kehadiran pekerja asing tanpa izin yang dilindungi oleh ahli keluarga mereka.
Bina Kuarters Pekerja Berpusat
Kerajaan MADANI di Negeri Selangor tampil dengan langkah penyelesaian yang bernas bagi menangani masalah tersebut melalui pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ). Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah diamanahkan untuk membangunkan CLQ pertama di Bandar Sultan Suleiman.
CLQ tersebut dibina atas tanah berkeluasan 1.76 hektar (4.35 ekar) dan dinamakan sebagai Laman Lestari. Projek tersebut dianggarkan siap dalam tempoh tiga tahun dengan tarikh penyerahan ditetapkan pada 2024 dan sijil siap diperoleh dijangka pada 2028.
Laman Lestari turut menyediakan pelbagai kawasan umum, termasuk medan selera, surau dan ruang terbuka yang luas untuk aktiviti dalaman. Laman Lestari mempunyai kapasiti untuk menempatkan 5,712 individu dengan maksimum 17 penghuni seunit.
Projek itu dianggarkan menelan belanja RM 120 juta, kesemua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM 350 untuk seorang penyewa.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor




Comments