Kerajaan Selangor akan mempergiatkan usaha meningkatkan bilangan penduduk negeri itu berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan merangka strategi ke arah itu selain mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi.
Kerajaan Negeri juga jelasnya negeri sedang meneliti beberapa cadangan antaranya melalui pendaftaran dari rumah ke rumah oleh sukarelawan di lapangan.
"Setakat ini kita sudah pergiatkan usaha pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, manakala bagi orang awam, kita membuka kaunter pendaftaran PADU di setiap program anjuran Kerajaan Negeri.
"Saya akan lihat semula apa nilai tambah yang boleh dibuat bagi memastikan rakyat negeri ini tidak tercicir daripada menerima bantuan subsidi bersasar disediakan kerajaan," katanya dipetik.
Amirudin sebelumnya mengulas kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata Selangor bakal menjadi negeri yang mempunyai isu keciciran bantuan subsidi bersasar tertinggi susulan ramai penduduk di negeri berkenaan tidak mendaftar PADU.
Rafizi berkata, jumlah tersebut berdasarkan 4,752 kawasan yang belum diliputi dalam sistem PADU sejak ia dilancarkan pada 2 Januari lalu.
Sementara itu Amirudin mengakui kepadatan penduduk yang tinggi serta isu lantikan ketua kampung yang belum selesai merupakan antara faktor menyumbang kepada kadar pendaftaran PADU yang kurang menggalakkan di Selangor.
Untuk itu, katanya beliau akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah serta Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi menyelesaikan urusan pelantikan ketua komuniti dengan segera.
"Jumlah pendaftaran PADU mampu ditingkatkan selepas isu lantikan ketua kampung selesai. Mereka akan memudahkan pendaftaran penduduk kampung atau komuniti dengan PADU," katanya.
Commentaires