
Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memperluas perkhidmatan intervensi awal bagi kanak-kanak istimewa di negeri itu.
Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata pihaknya merancang mewujudkan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS) di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Dipetik laporan media, ujar Anfaal langkah tersebut bagi mengatasi isu kesesakan pelajar di premis sedia ada dan usaha itu kini dalam peringkat perbincangan.
"Intervensi perlukan tempat, kita tidak boleh sekadar memenuhi hasrat dan padatkan pusat sedia ada kerana ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
"Pusat ANIS sedia ada mampu menempatkan sekitar 120 pelajar tetapi yang memohon untuk masuk adalah 600 orang," katanya.
Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan November lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.3 juta bagi meneruskan Iltizam Anak Istimewa Selangor (ANIS)
Pusat ANIS ditubuhkan bertujuan meringankan beban ibu bapa selain memberdaya golongan itu dengan peluang dan kemudahan pendidikan khas seiring dengan perkembangan murid.
Sementara itu Anfaal memaklumkan, selain menambah Pusat ANIS, pihaknya juga berhasrat memperkenal pusat intervensi bergerak bagi memudahkan akses kepada bantuan ANIS.
"Tahun ini kami rancang untuk mewujudkan pusat intervensi bergerak supaya program ini dapat diakses oleh mereka yang berada di pinggir bandar dan kami akan melihat peruntukan sedia ada untuk memulakan rancangan ini," katanya.
Comments