Selangor peruntuk RM355.06 juta kukuhkan daya tahan ekonomi negeri
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi menampan kesan kejutan rantaian bahan api yang memberi kesan kepada krisis bekalan global.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif meliputi pelbagai sektor termasuk bekalan makanan, pertanian, pengangkutan awam, perumahan, pendidikan, perkhidmatan, keusahawanan dan sebagainya.
Manakala, RM209.26 juta lagi diperuntukkan bagi Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan semalam.
"Meskipun Amerika Syarikat dan Iran sudah memeterai gencatan senjata dan perjanjian damai, namun Kerajaan Negeri tidak boleh bersikap naif membiarkan kesan krisis merosakkan kestabilan dan kemakmuran dalam negara," katanya dipetik laporan media tempatan.
Amiruddin berkata begitu ketika membentangkan Pakej Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Jumaat.
Antara inisiatif yang diumumkan semalam ialah Pengurangan Kadar Sewa Premis Pihak Berkuasa Tempatan, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta, Projek Selangor Penyayang (RM14 juta), Selangor Advance (SA500) (RM100 juta), Pembiayaan Dana Pantas Usahawan (RM20 juta), Inisiatif Pemulihan Usahawan Selangor dan Transisi Kerjaya PLATS (RM4 juta).
Selain itu, Program Kerjaya Selangor (RM1.5 juta), Bantuan Agropreneur Selangor (RM6 juta), Moratorium Smart Sewa Selangor (RM2.22 juta), Moratorium Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri (RM2.54 juta), Pembiayaan Daya Tahan Usahawan Tani Selangor (RM7 juta), Biasiswa Selangor (RM17 juta), Teraju IKTISASS (RM20 juta), Mama Kerja (RM5 juta) dan Rebat Cukai Taksiran 100 peratus (RM5.5 juta).
Sementara itu, Amirudin turut menyeru semua pihak kekal bersatu padu dan bekerjasama memastikan ekonomi negeri kekal berdaya saing dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi susulan situasi global.
"Kita perlu membuang semangat perbalahan atau perseteruan yang tidak mengena di saat krisis dan keadaan yang tidak menentu ini.
"Ini masanya untuk kita bersatu padu, berganding tangan dan melihat dengan jelas bagaimana penyelesaian ini dijalankan, bukan untuk kerajaan, bukan untuk Menteri Besar tetapi untuk memastikan negeri ini kekal sebagai negeri yang berdaya tahan," tambahnya.




Comments