Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.5 juta untuk memberi kit percuma kepada jemaah haji muassasah pada tahun ini.
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pemberian itu meliputi wang tunai dan kit kesihatan.
"Jemaah Haji Muassasah Selangor diberi insentif tunai dan kit kesihatan. Ini salah satu usaha Kerajaan Negeri membantu meraikan dhuyufurrahman.
"Insentif Haji Muassasah Selangor 2022 merupakan salah satu inisiatif di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI. Sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan untuk urusan ini," katanya.
Tambah MB, peruntukan itu boleh dipohon oleh bakal haji di Pusat Khidmat DUN di kawasan masing masing.
"Permohonan disemak dan diteliti setiap minggu sebelum kelulusan diberikan bagi memastikan bantuan sampai kepada individu layak.
"Jemaah boleh memohon melalui pejabat DUN masing-masing. Semoga dapat meringankan urusan bakal tetamu-tetamu Allah yang terpilih," katanya lagi.
Para jemaah muassasah digalakkan untuk memohon pemberian berkenaan melibatkan wang tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.
Comments