Selangor perkukuh tadbir urus pintar, cekap menerusi pelancaran MetaSel
- Suara Keadilan

- Oct 31
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor terus menerajui agenda inovasi pentadbiran dengan memperkenalkan Metamorphosis Selangor (MetaSel) — satu inisiatif strategik berasaskan teknologi moden sebagai pemangkin ke arah tadbir urus pintar, cekap dan berdaya saing.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan MetaSel menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh kecekapan dan ketelusan perkhidmatan awam melalui penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Dron, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Data Analitik.
"Kita mesti terus berinovasi, memperkukuh penambahbaikan dan memperluas replikasi agar Selangor kekal berani mencipta, berani berubah dan berani memimpin masa depan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, beliar hadir merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor 2025 di Bangunan SUK, Shah Alam pada Khamis.
Majlis berkenaan menghimpunkan penjawat awam, institusi pendidikan, sektor swasta dan rakyat Selangor bagi meraikan budaya inovasi dan kecemerlangan.
Ia turut menampilkan dua acara utama — Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) dan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) 2025.
Selain itu, Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta kerjasama dengan Selgem Sdn Bhd bagi memperkukuh perlindungan dan pengkomersialan hasil inovasi tempatan.
"Selangor terus membuktikan bahawa rakyat dan penjawat awamnya bersedia melangkah ke hadapan dalam budaya inovasi yang progresif," tambah Amirudin.









Comments