Selangor perkukuh ekosistem pelaburan melalui pendekatan mesra pelabur
- Redzuan Shamsudin
- 8 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor menekankan prinsip memudahcara perniagaan bagi menarik pelaburan strategik, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pilihan pelaburan strategik dan jangka panjang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, inisiatif itu mula dilaksana secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini melalui Dasar Kelulusan 100 hari serta pelaksanaan Dasar Speed Selangor.
"Biasanya ada dua isu berbeza iaitu tanah dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Mulai 2020 kita pendekkan kelulusan tanah kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum itu.
"Pada 2025 kita tambah baik lagi, dengan memudahcara perniagaan sebagai penanda aras dengan memperkenal Dasar Speed Selangor.
"Kita terus fokus kepada transformasi PBT, terutama kelulusan daripada 3.5 bulan kepada 14 hari untuk projek industri di Selangor," katanya dipetik.
Terdahulu Amirudin merasmikan majlis pecah tanah pembangunan pusat pengedaran berautomasi penuh hasil usahasama Sime Darby Property Berhad dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dijangka siap pada suku ketiga 2027, fasiliti di Elmina, Sungai Buluh itu bakal meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan pengedaran barangan keperluan rakyat, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab logistik utama negara.
Dasar Speed Selangor yang dilancarkan Oktober lalu bertujuan mempercepat serta mempermudah kelulusan pembangunan dan pelesenan perniagaan, termasuk memendekkan tempoh kelulusan projek industri dan komersial berimpak tinggi daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari.
Ia menekankan prinsip memudahcara perniagaan dengan memastikan PBT kekal pantas dan cekap tanpa mengorbankan ketelusan serta kebertanggungjawaban.





