Menjengah setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, tular sebelum ini dakwaan 200 sekolah agama di Selangor diarahkan tutup sekaligus menimbulkan keresahan umat Islam di negeri itu.
Menerusi perkongsian infografik dari Sistem Maklumat Pendidikan Islam (Simpeni) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menunjukkan Selangor merupakan antara negeri paling tinggi mempunyai sekolah agama berdaftar.
"Sejumlah 1,131 sekolah agama dari peringkat pra sekolah hingga menengah termasuk aliran tahfiz wujud untuk mendidik anak Selangor dalam ilmu agama.
"Jumlah ini jauh mengatasi bilangan sekolah agama di negeri PN sekalipun digabungkan jumlahnya di negeri Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
"Justeru, tohmahan Islam terancam di Selangor nyata sekali meleset," kata satu kenyataan menyokong infografik tersebut.
Tambah kenyataan itu, Selangor merupakan contoh terbaik pengoperasian pendidikan agama berkualiti yang dilakukan secara teratur dan sistematik.
Hal itu selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahukan semua sekolah agama termasuk institusi tahfiz berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 adalah bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.
Tegas Menteri Agama itu, ketetapan tersebut dibuat untuk tidak mengulangi kejadian kebakaran sehingga mengorban 21 jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Pada masa sama, Mohd Na’im menjelaskan, penguatkuasaan garis panduan berkenaan telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.
Kenyataan Mohd Na’im seharusnya menghentikan tuduhan melulu tindakan pemutihan ekolah agama dan tahfiz persendirian di Selangor dilakukan untuk menutup institusi pendidikan agama.
*Kredit infografik: J-KOM Pro BONO
Comments