Selangor menjadi negeri pertama yang berjaya menyuntik vaksin Covid 19 dos pertama kepada hampir 100% penduduknya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata demikian dalam program Pengedaran Keperluan Asas kepada penduduk di DUN Sentosa yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri, Dr Gunaraj George.
"Kerajaan Negeri ketika ini serius dua perkara tentang Covid. Pertama mengenai vaksin. Kita dah (berjaya beri) hampir 100% dos pertama ke seluruh negeri. Kalau ada pun yang tidak diberi mungkin yang tidak mendaftar. Jadi kalau tidak daftar boleh rujuk ke pejabat DUN dan kita minta (mereka) divaksin. Vaksin boleh turunkan kes dan dalam bulan September kita akan lihat suasana berbeza.
"Kedua, kita teruskan bantuan ekonomi dan sokongan dengan program Kita Selangor. Kita bantu syarikat, peniaga individu. Sesiapa yang memerlukan kita boleh rujuk pusat khidmat DUN dan boleh bantu mereka yang memerlukan dan sebagainya
"Kita juga negeri pertama yang mampu beli vaksin dan berikan percuma kepada rakyat di semua DUN. Kita dapat membantu proses (negara) untuk segera pulih dari pandemik Covid 19," katanya dalam program berkenaan.
Selain itu, Amirudin turut memuji pengendalian bantuan keperluan asas di DUN Sentosa tersebut yang disumbangkan oleh pihak NGO.
Katanya, sumbangan pihak NGO itu menepati cogankata sepanjang pandemik Covid 19, iaitu "kita jaga kita".
Menurut beliau, sumbangan dari NGO telah menambah peruntukan Kerajaan Negeri kepada setiap DUN di Selangor.
"Kita beri peruntukan membolehkan DUN menggunakan RM100,000. Setakat ini lebih daripada 200,000 penduduk negeri Selangor memperoleh sumbangan.
"Tetapi hari ini lebih istimewa, bukan pusat khidmat DUN yang mengeluarkan perbelanjaan dan sebagainya, hari ini persatuan love and care Selangor keluarkan perbelanjaan
"Organisasi yang beroperasi di Kelang ini adalah satu organisasi yang berterusan membantu masyarakat tidak mengira kaum dan agama. Pokoknya sesiapa memerlukan sokongan mereka salurkan bantuan, sebelum ini di Meru, di Pandan, dan beberapa lokaliti lain.
"Inilah semangat yang kita perlukan di mana yang berkemampuan membantu mereka yang memerlukan.
"Kalau semangat ini dikekalkan, istilah kita jaga kita itu dapat dilaksanakan. Dia bukan hanya peduli diri sendiri tetapi jaga dan peduli diri satu sama lain," katanya lagi.
Comments