Selangor lancar Pelan Induk Sisa Pepejal, pacu agenda kelestarian
- Suara Keadilan
- 28 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor melancarkan Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor (PISPPANS) 2024–2033 untuk memastikan pengurusan sisa pepejal lebih tersusun, mampan dan berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) dalam kenyataannya berkata, kewujudan pelan itu merupakan langkah penting itu seiring dengan aspirasi kerajaan negeri.
"Selangor akan terus memacu inisiatif kelestarian yang bukan saja menjaga alam sekitar malah meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Dengan pendekatan 5R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle & Recover, Selangor bakal menjadi sebuah negeri yang benar-benar selesa dan berdaya huni untuk didiami oleh semua," katanya dipetik.
Julai lalu, Exco Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata, kutipan sisa pepejal di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mencatat kadar pematuhan melebihi 90 peratus setiap tahun.
Katanya pencapaian itu hasil pemantauan prestasi berkala oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bersama setiap PBT.
Sementara itu menurut Amirudin, dalam memastikan visi tersebut dapat dicapai, rakyat juga perlu dididik mengenai cara pengendalian sisa yang betul serta cara pengasingan sisa pepejal di punca.
Dengan usaha bersama itu jelasnya, Selangor bukan sahaja akan terus menjadi negeri maju, tetapi juga sebuah negeri yang benar-benar selesa dan berdaya huni untuk didiami oleh semua.