top of page

Selangor komited perkukuh usaha cegah penyakit tidak berjangkit

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read


Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh usaha membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negeri itu


Exco Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata, peningkatan kes NCD bukan sahaja memberi kesan kepada kualiti hidup rakyat malah membebankan sistem kesihatan negeri.


Justeru pihaknya memberi tumpuan kepada usaha pencegahan dan pengesanan awal bagi melindungi kesihatan rakyat serta mengawal kos rawatan yang semakin meningkat.


"Dasar kesihatan Selangor menekankan pencegahan, saringan awal dan literasi kesihatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersasar," katanya dipetik.


Jamaliah yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama sementara itu menjelaskan, Kerajaan Negeri menawarkan saringan kesihatan percuma kepada rakyat di negeri itu bagi mengesan awal penyakit seperti barah, penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah buah pinggang menerusi Program Selangor Saring.


Selain itu, Bantuan Sihat Selangor disediakan bagi membantu pesakit menampung kos rawatan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan di hospital kerajaan, khususnya melibatkan pesakit barah dan penghidap NCD.


"Kerajaan Negeri juga melaksanakan Iltizam Selangor Sihat bagi memastikan penduduk layak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan asas dan vaksinasi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.


"Bagi golongan kanak-kanak, Program Anak Selangor Anak Sihat menyediakan pemeriksaan indeks jisim badan serta konsultasi percuma bagi mengesan awal masalah kesihatan, tumbesaran dan pemakanan bagi membantu ibu bapa dan penjaga memahami kepentingan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat sejak usia awal," jelasnya.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan Selangor menggandakan peruntukan kesihatan mental daripada RM700,000 kepada RM1.5 juta tahun ini bagi memperkukuh sokongan psikososial kepada rakyat.


Menurutnya, peruntukan tersebut menyokong perkhidmatan Talian SEHAT, rawatan psikiatri bersubsidi serta kaunselor SEHAT Hub yang menawarkan sesi kaunseling percuma setiap minggu di seluruh negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page