Selangor komited perkasa pembangunan komuniti Orang Asli
- Suara Keadilan

- Aug 10
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan mempergiat usaha membangunkan komuniti Orang Asli dengan memastikan setiap bantuan dan peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan mereka.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, komuniti Orang Asli adalah sebahagian penting daripada masyarakat majmuk negeri dan pentadbirannya komited meningkatkan kebajikan golongan itu melalui penyediaan infrastruktur asas.
"Kita akan terus melindungi hak tanah adat, selain memastikan peluang pendidikan setara disediakan agar tiada anak Orang Asli tercicir.
"Usaha baik pulih rumah, program Iltizam Selangor Penyayang dan projek pembangunan sosioekonomi akan terus diperkasa demi kesejahteraan komuniti ini," katanya dalam muat naik di Facebook.
Amirudin sebelumnya hadir merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, semalam yang turut dihadiri Exco Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, V. Papparaidu dan Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad.
Festival selama dua hari bersempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2025 itu mempamerkan seni, budaya, makanan tradisional dan kraf tangan unik masyarakat Orang Asli yang menjadi sebahagian identiti negeri.
Amirudin berkata, tema sambutan tahun ini, “Indigenous Peoples and AI: Defending Rights, Shaping Futures”, selari dengan usaha Selangor membangunkan inisiatif Teraju AI.
"Teknologi AI memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli memanfaatkan teknologi untuk memelihara bahasa, sejarah dan adat, serta meningkatkan akses pendidikan, kesihatan dan pembangunan," jelasnya.









Comments