Selangor komited bina laluan kerjaya lebih inklusif untuk rakyat
- Redzuan Shamsudin
- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komited dalam membangunkan ekosistem kerjaya yang lebih menyeluruh dan inklusif bagi rakyat pelbagai latar belakang di negeri itu.
Exco Sumber Manusia Papparaidu Veraman berkata, usaha itu termasuk penganjuran Bengkel Pembangunan Kerjaya: Selangor Career Launchpad 2025 sebagai usaha melahirkan tenaga kerja berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran pasaran semasa.
"Pasaran kerja hari ini menuntut lebih daripada sekadar kelayakan akademik. Ia memerlukan kompetensi, keyakinan, kemahiran insaniah dan kesediaan untuk terus belajar.
"Bengkel seperti ini membantu peserta memahami kehendak industri dan melengkapkan diri dengan kemahiran relevan," katanya dipetik ketika merasmikan bengkel di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Kuala Selangor pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, Selangor Career Launchpad dirangka bagi menyokong graduan, pencari kerja aktif serta individu yang ingin meningkatkan mobiliti kerjaya melalui bimbingan profesional dan analisis pasaran kerja yang lebih tepat.
Program berkenaan bukan sekadar sesi latihan, sebaliknya satu platform bimbingan terancang yang menyediakan pemahaman pasaran kerja, pendedahan melalui MyFutureJobs Career Launchpad serta sokongan padanan pekerjaan yang tepat kepada peserta.
"Setiap individu yang berjaya mendapat pekerjaan stabil dan berpendapatan baik bukan sahaja mengubah hidup mereka, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negeri.
"Inilah sebabnya pembangunan modal insan menjadi agenda penting kerajaan negeri," tambahnya sambil menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperluas platform latihan, peningkatan kemahiran dan sokongan kerjaya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor.





