Selangor kekal penyumbang utama ekonomi Malaysia - DOSM
- Suara Keadilan
- Jul 2
- 2 min read

Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, hasil kepimpinan Kerajaan Negeri yang konsisten melaksanakan dasar mesra pelabur dan pembangunan inklusif yang turut dinikmati semua lapisan masyarakat.
Kejayaan ini dibuktikan menerusi laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, yang mengiktiraf negeri diketuai KEADILAN itu sebagai negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
Menurut laporan tersebut, Selangor mencatat nilai KDNK sebanyak RM432.1 bilion, menyumbang 26.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Malaysia, meningkat berbanding 25.9 peratus pada tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan kukuh pada kadar 6.3 peratus.
"Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar iaitu 61.1 peratus daripada KDNK Selangor, berkembang sebanyak 6.3 peratus," jelas Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia.
Subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 6.7 peratus, manakala perdagangan borong, runcit, makanan, minuman serta penginapan berkembang 4.6 peratus.
"Ia mencerminkan permintaan pengguna yang terus meningkat serta kegiatan pelancongan domestik yang kembali rancak, hasil keyakinan terhadap kestabilan serta kecekapan pengurusan negeri," menurut laporan itu lagi.
Sementara itu, sektor pembuatan di Selangor kekal sebagai penyumbang kedua terbesar KDNK dengan sumbangan 29.1 peratus, berkembang 5.1 peratus yang didorong oleh subsektor elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam, sekali gus memperlihatkan ekosistem industri Selangor yang semakin matang dan kompetitif.
Dalam skala nasional, laporan DOSM turut menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024 kepada RM1.65 trilion, meningkat daripada 3.5 peratus pada tahun sebelumnya, dengan sektor perkhidmatan terus mendominasi pada 59.4 peratus, diikuti sektor pembuatan dan pertanian.
Rekod ini sekaligus mengesahkan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin dengan telus dan progresif, dalam memastikan negeri terus menjadi tunjang utama pembangunan ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Comments