Selangor–Kazakhstan perkukuh kerjasama perpustakaan, literasi digital
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Lawatan Delegasi Kerajaan Selangor ke Kazakhstan diteruskan dengan satu pertemuan penting bersama pihak pengurusan Perpustakaan Negara Republik Kazakhstan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lawatan itu disusuli sesi menandatangani surat kerjasama dan persefahaman (MoU) antara Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan institusi itu.
"Sebagai salah satu pusat ilmu tertua di bandar ini, Perpustakaan Negara Republik Kazakhstan bukan sahaja menjadi gedung ilmu tetapi juga pusat komuniti, pemeliharaan warisan, dan hab literasi digital.
"Dengan jalinan kerjasama ini, kita bukan sahaja menyimpan khazanah ilmu, tetapi bersama-sama menyebarkannya ke seluruh dunia," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Difahamkan, kerjasama membabitkan perkongsian idea, pengetahuan serta pengalaman, khususnya dalam bidang literasi digital, pengurusan sumber maklumat, pembangunan kapasiti komuniti perpustakaan, dan pertukaran koleksi bahan rujukan.
Pada sesi lawatan itu juga Selangor telah berkongsi usaha PPAS pembangunan literasi awal melalui penganjuran Children’s Book Fair sebagai platform menggalakkan budaya membaca sejak usia kecil.
"Usaha Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) dibawah Kerajaan Negeri yang giat menterjemah karya-karya agung sarjana Islam seperti tulisan Imam Al-Ghazali dan Muhammad karya Martin Lings turut dikongsikan.
"Malah kini sedang mempertimbangkan tokoh besar kelahiran Kazakhstan, Al-Farabi, untuk terjemahan seterusnya," jelas Amirudin.
Comments