Selangor fokus tangani isu banjir yang belum selesai - MB
- Suara Keadilan

- Apr 21
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui keresahan penduduk yang trauma dengan tragedi banjir besar yang melanda negeri itu pada 2021.
Menerusi satu kenyataan pada Ahad beliau menegaskan, Kerajaan Negeri komited memastikan isu itu dapat ditanggapi dengan cermat.
"Saya memahami kegusaran dan kegelisahan para penduduk Taman Sri Muda akibat dari peristiwa banjir kilat yang berlaku.
"Meskipun hampir empat tahun telah berlalu, episod ngeri bah besar Dis 2021 masih lekat dalam ingatan setiap rakyat Selangor, tiada sesiapa mahu melihatnya berulang.
"Satu penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh perlu dicapai supaya ia dapat ditangani sewajarnya. Ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan," katanya.
Sehubungan itu menurut Amirudin, beliau telah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Saifuddin Shafi Muhamamad untuk memanggil mesyuarat koordinasi segera bagi menangani isu berbangkit berkaitan kejadian banjir terutama di kawasan Shah Alam dan Klang.
Mesyuarat yang dijangka di adakan hari ini akan melibatkan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
"Selain itu Exco Infrastruktur Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim akan bertemu penduduk yang terkesan bagi mengenal pasti tindakan pada kadar serta merta sebagai susulan dari semua mekanisme pencegahan yang telah Kerajaan Negeri laksanakan," tambahnya.
Kenyataan itu menyusul tuntutan dikemukakan sekumpulan penduduk Taman Sri Muda supaya Kerajaan Negeri segera menyelesaikan isu banjir yang membimbangkan mereka.









Comments