
Kerajaan Negeri Selangor memberi amaran tidak akan teragak-agak menyenarai hitam peniaga bazar Ramadan yang ‘ditangkap’ menjual permit mereka kepada pihak ketiga.
Exco keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, bagi menangani budaya 'Ali Baba' itu, pihak berkuasa tempatan akan melaksana pemantauan berterusan bagi mengesan peniaga terbabit.
"Selain itu, tindakan tegas juga bakal dikenakan kepada penjaja yang dikesan menjalankan operasi tanpa permit.
"Kami tidak akan berkompromi. Ini bagi memastikan peniaga berlesen diberi ruang untuk beroperasi tanpa gangguan," katanya dipetik.
Najwan berkata begitu kepada pemberita selepas majlis taklimat dan penyerahan bazar Ramadan di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong pada Khamis.
Media baru-baru ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa mereka yang menjual atau memajak permit mereka akan dibatalkan serta-merta lesen mereka.
Amaran itu susulan dakwaan lot bazar Ramadan di Kuala Lumpur dijual semula dengan harga lebih RM30,000.
Sementara itu Najwan mengingatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak terlalu ghairah mengaut keuntungan hingga mengabaikan kebersihan dan kualiti makanan yang akhirnya menjejaskan semua pihak.
"Setiap tahun, orang ramai berkongsi cerita yang sama mengenai makanan yang dibeli di bazar Ramadan, sama ada terlalu mahal atau tidak berkualiti di media sosial.
"Jadi, kesannya orang ramai akan cenderung menyalahkan seluruh bazar dan bukannya hanya satu gerai, jadi tolong, jangan ambil mudah peluang ini," katanya lagi.
Comments