Selangor bakal hasilkan cip tempatan pertama menjelang 2028
- Suara Keadilan

- 16 hours ago
- 1 min read

Selangor terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor rantaian semikonduktor apabila bakal menghasilkan cip tempatan pertama melalui pembangunan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC).
Exco Pelaburan Ng Sze Han (gambar) berkata, cip tersebut bakal dihasilkan menerusi kerjasama syarikat semikonduktor terkemuka, Arm Holdings Plc (ARM) dengan pelancaran disasarkan menjelang 2028.
"Kerajaan Negeri mahu penghasilan cip yang direka mengikut keperluan pasaran semasa.
"Cip ini akan digunakan secara meluas antaranya dalam bidang automotif, aeroangkasa dan pusat data," katanya dipetik.
Selangor melancarkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua di CoPlace 9, Cyberjaya pada November lalu susulan pertambahan minat syarikat semikonduktor antarabangsa untuk beroperasi di Selangor
Fasiliti di Cyberjaya mempunyai kemudahan lebih baik dengan dilengkapi pusat ujian cip, berbeza dengan kemudahan pertama di Puchong yang hanya menumpukan kepada Automasi Reka Bentuk Elektronik (EDA).
"Pembangunan dua taman reka bentuk IC ini membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak muda tempatan, khususnya dalam bidang kejuruteraan.
"Kita mahu beri pekerjaan berimpak tinggi dan sebab itu perlu menyediakan ruang serta peluang kerja yang terbaik kepada anak-anak muda.
"Setakat ini, bagi taman reka bentuk di Puchong hampir 95 peratus daripada 200 jurutera merupakan (anak) tempatan. Di Cyberjaya juga, kita yakin lebih 200 jurutera akan terlibat," jelas Sze Han.









Comments