Kerajaan Selangor mengambil inisiatif menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri melibatkan 18 lokasi di serata negeri itu sejak Rabu hingga Ahad ini bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim berkata sebanyak sembilan lokosi dikendalikan di bawah FAMA Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (empat) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) di lima lokasi.
"Sejumlah lima barangan utama akan dijual pada kadar harga subsidi iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras, dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM296,436.00.
"Kepada seluruh rakyat Selangor, jangan lepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan sempena perayaan ini di Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2024. Dapatkan maklumat lokasi dan masa di laman rasmi FAMA Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor - PKPS dan Kohijrah," katanya dalam hantaran di Facebook.
Jelas Izham sepanjang lima hari jualan itu berlangsung, sebanyak 14,800 ekor ayam disediakan selain daging segar (6,100 kg), daging beku (2,000 kg), telur (9,400 papan), minyak (3,976 botol) dan beras (7,600 kampit).
Ayam dijual pada harga RM10 seekor, daging segar (RM35/sekilo (kg), daging beku (RM10/kg), telur (RM10/sepapan), minyak masak (RM35/lima kg) dan beras (RM13/lima kg).
Tahun lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilftri selama enam hari di 23 lokasi seluruh negeri dengan tawaran harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
Comments