Sektor e-dagang dikawal selia dua akta, RUU baharu akan dibentang
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengguna pakai Garis Panduan Penyertaan Asing dalam Sektor Perdagangan dan Pengedaran di Malaysia bagi mengawal penyertaan serta operasi perniagaan e-dagang asing di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, setakat ini sektor e-dagang di Malaysia turut dikawal selia oleh dua akta utama, iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006.
''Sektor ekonomi ini berkembang begitu pesat maka tentu sekali undang-undang yang sedia ada tidak cukup merangkumi segala punca kuasa yang diperlukan untuk kita mengawal selia ekosistem secara komprehensif.
''Maka satu kajian semula perundangan e-dagang telah dimulakan pada April 2024 dan sudah berakhir pada 15 Oktober lalu,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang ingin mengetahui garis panduan semasa yang digunakan dalam menentukan syarat kemasukan platform e-dagang asing ke pasaran Malaysia.
Mohd Hasnizan juga menanyakan usaha Kementerian untuk memperkenalkan dasar kawalan baharu yang lebih ketat supaya kuasa pasaran lebih seimbang dan tidak menjejaskan kemajuan industri tempatan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata kajian semula perudangan e dagang itu menumpukan kepada tiga teras utama dan 12 bidang tumpuan dalam perundangan.
Katanya, usaha itu bertujuan memastikan ekosistem e-dagang dapat memberikan keadilan kepada semua termasuk pengguna, peniaga, pengendali platform dan sebagainya.
''Jadi isu seperti keselamatan produk dalam talian termasuk kontrak dalam talian yang adil serta memperkasakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan merupakan antara 12 bidang tumpuan perundangan.
''Kesemua itu tertakluk di bawah tiga teras utama iaitu memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan keadilan dalam urus niaga dan mewujudkan kawal selia khusus untuk transaksi dalam talian.
''Pada ketika ini, kita sedang menyiapkan kertas dasar untuk dibentangkan dan diluluskan di Kabinet, dan kita berharap dapat membawa satu RUU baharu ke Parlimen bagi menggubal undang-undang e-dagang yang terkini,'' ujar Fuziah yang juga Setiausaha Agung KEADILAN.





