Penguasaan media sosial penentu kemenangan pilihanraya
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 2 min read

Keputusan dan trend Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov lalu membuktikan bahawa penguasaan media sosial kini menjadi faktor penentu kemenangan, malah kegagalan memahami realiti berkenaan telah menyumbang kepada kekalahan parti-parti besar sebelum ini, termasuk di PRN Melaka, Sarawak dan Johor sepanjang 2021 dan 2022.
Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Syam Ghaz berkata, landskap penyampaian maklumat kepada pengundi telah berubah secara drastik, apabila majoriti rakyat Sabah mendapatkan maklumat politik melalui platform digital berbanding media konvensional.
"Sebanyak 76 peratus pengundi Sabah memperoleh maklumat melalui media sosial, manakala hanya 11 peratus bergantung kepada surat khabar.
"Ini adalah isyarat jelas bahawa medan pertempuran sebenar pilihan raya hari ini ialah di alam digital (siber)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, data dari sumber yang melakukan kajian trend pengundi PRN Sabah menunjukkan WhatsApp, Facebook dan TikTok muncul sebagai tiga platform utama yang paling berpengaruh.
"Sebanyak 79 peratus pengundi menerima maklumat melalui WhatsApp, diikuti Facebook (73 peratus) dan TikTok (63 peratus).
"Ini bermakna, jika parti atau kerajaan gagal menguasai tiga platform ini, mereka berisiko besar untuk tewas," katanya.
Selain itu, kata beliau, berdasarkan sumber tersebut Instagram digunakan oleh 24 peratus pengundi, Telegram (12 peratus), platform X (10 peratus), manakala WeChat, Snapchat dan Discord mencatatkan peratusan yang jauh lebih rendah.
Mengulas lanjut, Syam Ghaz mengkritik pihak yang terus bergantung kepada media konvensional untuk menyampaikan maklumat, yang menurutnya tidak lagi memberi pulangan sepadan dengan pelaburan kewangan yang dibuat.
Beliau mengingatkan bahawa kegagalan menyesuaikan strategi penerangan dengan realiti semasa telah menyebabkan kekalahan pelbagai gabungan politik sebelum ini.
"BN, PH dan PN semuanya pernah kalah. Jika pendekatan lama ini diteruskan, mana-mana kerajaan pun akan menerima nasib yang sama," ujarnya.
Sehubungan itu, Syam menggesa Kerajaan Perpaduan agar segera melakukan rombakan menyeluruh serta menetapkan hala tuju yang jelas dalam strategi penggunaan media sosial bagi menyampaikan dasar dan maklumat kepada rakyat.
"PRN Sabah perlu dijadikan pengajaran. Tanpa strategi media sosial yang tersusun, agresif dan berfokus, kerajaan akan terus ketinggalan dalam membentuk persepsi dan keyakinan rakyat," katanya.









Comments