top of page

Sabar, Bertenang Dalam Memerintah, Elak Tunding Jari Cari Kesalahan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 39 minutes ago
  • 3 min read

ree

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Sejarah membuktikan bahawa setiap kerajaan dan empayar akan runtuh apabila golongan pemerintahnya mula panik dan membuat keputusan terburu-buru. Krisis yang dihadapi oleh pemerintah terdahulu apabila tidak diuruskan secara tenang dan berhikmah akan membibitkan pertelingkahan dan tudingan terhadap sesama sendiri untuk dipersalahkan.


Perkara ini boleh dilihat dalam sejarah ambang kejatuhan Empayar Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud Shah menghukum bunuh Bendahara Tun Mutakhir yang mengakibatkan perpecahan dalam kerajaan baginda sehingga melemahkan usaha menghadapi serangan penjajah Portugis.


Kritikan golongan pedagang (terutama dari Empayar Ming dan Gujerat) terhadap dasar keselamatan dan percukaian Melaka telah menyebabkan para pembesar saling menuding jari untuk melepaskan diri masing-masing. Kemuncak krisis ini adalah kerajaan pimpinan Sultan Mahmud Shah mendapat kritikan hamba rakyat kerana tidak lagi menjadi tumpuan perdagangan utama di nusantara, penyelesaian krsisi itu adalah dengan menjadikan Tun Mutakhir sebagai mangsa untuk dipersalahkan bagi menyelamatkan kedudukan pembesar-pembesar lain.


Ambil ikhtibar dari sejarah


Kita semua sepatutnya mengambil iktibar dari sejarah tersebut kerana ia turut berlaku dalam rentetan sejarah dunia yang lain seperti Empayar Qin, Rom dan Mughal. Kerajaan Madani pada hari ini bakal mengulangi sejarah yang sama jika kepimpinannya tidak bertenang dan cuba berfikir secara waras dalam menghadapi kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Pakatan Harapan (PH) adalah antara gabungan politik yang terkesan teruk apabila KEADILAN hanya menang 1 kerusi (berbanding 2 kerusi dalam PRN Sabah ke-16) dan DAP hilang kesemua 6 kerusi yang dimenangi semasa PRN Sabah ke-16.


Keadaan ini memberi tamparan hebat sehingga mengakibatkan sedikit panik dalam kalangan segelintir kepimpinan PH kerana isyarat paling jelas daripada PRN Sabah ke-17 adalah perubahan undi masyarakat Cina di kawasan bandar terhadap calon-calon dari PH. Keadaan tersebut mengakibatkan kepimpinan DAP mula mengeluarkan kenyataan dan keputusan dalam keadaan panik demi untuk menarik semula kepercayaan dan undi dalam kalangan pengundi teras mereka.


Kenyataan oleh YB Anthony Loke Siew Fook selaku Setiausaha Agung DAP adalah contoh paling jelas menunjukkan tindakan panik oleh segelintir kepimpinan Kerajaan Madani. Beliau mengingatkan PMX bahawa DAP akan menilai semula peranannya dalam Kerajaan Madani sekiranya PMX gagal melaksanakan agenda reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang.


Kenyataan oleh pemimpin utama DAP ini memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa sudah mula berlaku situasi menuding jari bagi menjustifikasi kekecewaan dalam PRN Sabah ke-17. Bibit ini jika tidak ditenangkan lebih awal maka ia akan berlarutan sehingga mengakibatkan keruntuhan Kerajaan Madani seperti yang telah berlaku kepada kerajaan-kerajaan lain yang tercatat di dalam sejarah.


Pendekatan bertenang, berfikir diutamakan


Seharusnya kepimpinan DAP mengambil iktibar daripada KEADILAN yang sekian lama berhadapan dengan kegagalan, namun tidak pernah bangkit menuding jari untuk mempersalahkan mana-mana pihak. Kehilangan 4 kerusi parlimen semasa PRU ke-11 dan penenurunan kepada 31 kerusi semasa PRU ke-15 tidak pernah menimbulkan polemik dalam kelangan kepimpinan KEADILAN untuk menuding jari kepada semasa rakan komponen.


Usaha diteruskan untuk meyakinkan rakyat untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan PH. Natijahnya KEADILAN sentiasa bangkit memenangi hati rakyat sehingga berjaya membentuk Kerajaan Madani selepas PRU ke-15.


Pendekatan bertenang dan berfikir secara berhikmah diperlukan dalam menghadapi krisis sokongan rakyat pada ketika ini oleh kepimpinan Kerajaan Madani. Menuding jari dan meninggalkan Kabinet Kerajaan Madani hanya akan memberi gambaran bahawa DAP meninggalkan rakan seperjuangan di kala pertempuran mengangkat agenda reformasi sedang berada di kemuncak.


Tiada siapa yang dapat menentukan pola sokongan rakyat secara mutlak (selain Yang Maha Esa). Apa yang mampu dilakukan oleh insan adalah berusaha sebaik mungkin dan menyerahkan hasilnya kepada takdir.


Bertenang semula dan teruskan perjuangan dalam Kerajaan Madani, ingatlah bahawa sehingga kini sejarah mengenang Wang Jing Wei kerana meninggalkan Dr Sun Yat Sen dalam keadaan yang paling getir.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page