top of page

SEKPUR lapor polis dakwaan Hj Hadi AS tawar bantuan tukar kerajaan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 38 minutes ago
  • 2 min read
Mejar (B) Razali (kiri sekali) dalam sidang media di luar IPD Dang Wangi, tengah hari tadi
Mejar (B) Razali (kiri sekali) dalam sidang media di luar IPD Dang Wangi, tengah hari tadi

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden Pas, Hj Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan Umno-BN dan mengambil alih kerajaan pada 2014.


Setiausaha Agung SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria menyifatkan hal itu merupakan satu perkara yang serius kerana melibatkan kedaulatan negara.


"Kami (selaku) NGO dan rakyat Malaysia (mempersoalkan) kenapa setelah hampir 10 tahun (berlalu), perkara ini baru didedahkan?


"Ini satu perkara yang sensitif melibatkan kedaulatan negara kerana ada agensi atau pihak luar negara yang ingin menjatuhkan kerajaan yang sah di Malaysia (ketika itu). Ia tidak boleh dibiarkan.


"Kita khuatir… Sekarang pun ada unsur-unsur tersebut, jadi kita mohon pihak polis atau agensi berkaitan (menyiasat sama ada wujud) atau tidak unsur-unsur (tersebut).


"Malaysia negara berdaulat, negara merdeka. Negara asing tidak boleh campur tangan dala apa sahaja yang berlaku dalam politik negara kita," tegas beliau ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.


Hj Hadi mendedahkan perkara itu ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Shahbudin Embun
Shahbudin Embun

Menurut beliau, perkara berkenaan berlaku ketika lawatan mantan Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia (2014) apabila beberapa pemimpin Pas ketika itu dijemput bertemu di Kedutaan AS.


Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun pula menyifatkan pendedahan Hj Hadi itu merupakan sesuatu yang mengejutkan beliau.


"Dengan bangganya Haji Hadi mengeluarkan pendedahan yang sangat besar dan ia merupakan sesuatu yang serius.


"Apa yang didedahkan Haji Hadi itu melangkaui pemikiran saya dan (pasukan) kami bahawa ada dalam kalangan orang Islam yang sanggup pergi ke kedutaan AS.


"Sepatutnya apabila mereka tahu niat Amerika untuk campur tangan dalam negara kita, mengapa mereka tidak keluar dari kedutaan itu?


"PDRM dan Jabatan Peguam Negara perlu memandang serius perkara ini. Mereka (Pas) dengan sendiri telah mendedahkan perkara yang begitu jijik dan tidak masuk akal," bidas beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page