SEKPUR gesa polis siasat hinaan terhadap institusi Raja di Threads
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) membuat laporan polis di IPD Seremban berhubung satu hantaran di platform media sosial Threads yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Institusi Raja Melayu, selain memohon siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setiausaha Agung SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria berkata beliau membuat laporan itu selepas mendakwa menemui hantaran di media sosial pada kira-kira 9 malam, 18 Julai, yang memaparkan tangkapan skrin berkaitan institusi raja.
Menurutnya, hantaran berkenaan disertakan kenyataan yang didakwanya memperlekehkan Institusi Raja Melayu.
"Pada 18/7/2026 jam lebih kurang 9.00 malam saya mendapati satu hantaran di media sosial bernama Threads AizleyShahar @aizley memaparkan tangkapan skrin (screenshot) yang memuat naik imej berkaitan Institusi Raja.
"Terdapat kenyataan provakatif yang menyertai imej tersebut yang secara jelas menghina dan memperlekehkan Institusi DiRaja Melayu," kata Razali dalam laporan polis itu.
Razali mendakwa kandungan berkenaan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta mengancam keharmonian dan ketenteraman awam kerana menyentuh isu sensitiviti 3R melibatkan Raja, Agama dan Kaum.
"Saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut adalah satu bentuk penghinaan terbuka yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan ancaman kepada keharmonian serta ketenteraman awam.
"Sebagai seorang rakyat yang prihatin dan bekas anggota keselamatan, saya memandang serius tindakan ini kerana ia menyentuh sensitiviti 3R (Raja, Agama, Kaum)," katanya.
Beliau turut memohon polis mengenal pasti individu atau pengendali akaun yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berkenaan serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
"Saya dengan ini memohon pihak polis untuk menjalankan siasatan segera di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Mengenal pasti individu atau pengendali akaun yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan penghinaan tersebut.
"Mengambil tindakan undang-undang yang tegas bagi membendung penyebaran bahan tersebut daripada terus berleluasa," katanya.
