top of page

Sekatan vaksin Covid 19 Kesatuan Eropah: Kerajaan PN perlu sediakan pelan alternatif




Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan kepada rakyat pelan alternatif Program Vaksinasi Kebangsaan selepas Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan eksport terhadap vaksin Covid 19 yang dihasilkan kilang-kilang di dalam kesatuan itu.


Menurut Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan (PH), sekatan vaksin itu pastinya akan menjejaskan Malaysia kerana negara ini banyak menempah vaksin keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca yang diproduksi di Eropah.


"Keputusan EU ini sudah pasti akan memberi kesan kepada Program Vaksinasi Covid-19 di Malaysia. Pasukan Petugas Imunisasi PH menggesa Kerajaan Malaysia menjelaskan status dan kesan sekatan ini terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan Covid-19.


"Berdasarkan laporan, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 120 negara yang dikecualikan daripada sekatan eksport lebih ketat bagi vaksin Covid yang dihasilkan di EU.


"Kawalan eksport oleh EU terhadap vaksin Covid yang telah ditempah blok tersebut - termasuk Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca - terpakai di antara 30 Januari higga 31 Mac. Ini dipercayai akan memberi kesan kepada Malaysia kerana vaksin Pfizer yang kita tempah dihasilkan di Belgium.


"Lebih-lebih lagi Malaysia dijangka menerima 144,000 dos vaksin Pfizer bulan ini, dan program vaksinasi kebangsaan Covid-19 dijangka bermula bulan ini.


"Malaysia juga dijadual menerima 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca seawal April sebagai tambahan kepada bekalan vaksin Pfizer untuk fasa vaksinasi berikutnya, yang akan melibatkan inokulasi warga emas dan kumpulan berisiko tinggi terutama yang mempunyai komorbiditi (comorbidity) sedia ada," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.


Menurut mereka lagi, meski pun kerajaan Malaysia turut menempah vaksin keluaran syarikat Sinovac dari China namun keberkesanan vaksin tersebut masih tidak sebaik vaksin yang dihasilkan negara Barat.


Tambahan pula, vaksin Sinovac belum diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang biasanya akan mengambil masa 60-90 hari untuk kelulusan.


"Vaksin Sinovac menunjukkan keberkesanan yang tidak sekata dalam pelbagai ujian klinikal, dengan menunjukkan keberkesanan 50.4 peratus dalam ujian tahap akhir di Brazil.


"Semua faktor ini mungkin menyebabkan kelewatan pelaksanaan program vaksinasi. Dengan pertambahan kes Covid-19 dalam negara, kerajaan perlu jelaskan perancangan dan halatuju dalam mengatasi cabaran serta bagaimana kelewatan ini akan memberi kesan kepada komitmen kewangan kita kepada syarikat-syarikat farmaseutikal?


"Apakah jangkamasa baharu kerajaan dengan perkembangan terbaru ini?


"PH percaya kerajaan perlu telus dan proaktif merangka pelan mengatasi kesan kelewatan serta menyediakan pelan menyeluruh untuk mengekang wabak Covid dari terus menular


"Untuk itu respon “Find, Test, Trace, Isolate and Support” (FTTIS) perlu diperbaiki segera untuk memastikan jumlah ujian saringan adalah dalam julat 5% sebagaimana disarankan WHO, isu lambakan kes diselesaikan dan pengesanan kontak rapat diperkemas menggunakan aplikasi digitial," kata mereka.


Selain itu, Pasukan Petugas Imunisasi PH juga tidak bersetuju dengan dasar sekatan vaksin yang dilakukan EU dalam keadaan meruncing di seluruh dunia memerlukan pencegahan terhadap jangkitan Covid.


PH menggesa agar EU menghormati hak negara membangun mendapatkan akses kepada vaksin yang boleh menyelamatkan jutaan nyawa penduduk negara dunia ketiga.


"Pasukan Petugas Imunisasi PH beranggapan dasar ini menimbulkan rasa bimbang terhadap kemungkinan lahirnya semangat ‘nasionalisme vaksin’ (vaccine nationalism) di negara-negara pengeluar vaksin.


"PH menggesa EU menghormati hak negara membangun mendapatkan akses vaksin Covid-19. Kami berdiri bersama semua negara membangun lain dalam menggesa negara-negara pengeluar vaksin menghormati kontrak-kontrak yang telah ditandatangani antara negara-negara dan syarikat vaksin agar tidak dikenakan sebarang sekatan eksport.


"Pada waktu pandemik global ini, semua negara perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kekurangan vaksin dalam semangat kemanusiaan, kesaksamaan peluang dan menghormati perjanjian," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi PH, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, Ahli Parlimen Lumut Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela bt Ariffin, Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Maria Mahmud dan Exco Kesihatan Negeri Sembilan Veerapan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page