Sekatan Israel: Misi bantuan makanan ke Gaza guna botol, buluh
- Suara Keadilan

- Sep 14
- 1 min read

Misi bantuan MAPIM Malaysia yang sedang mengusahakan penghantaran bantuan secara darat dan laut ke Gaza yang dikepung Israel akan menggunakan pendekatan baharu untuk melepasi sekatan rejim Zionis.
Salah seorang anggota MAPIM, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, NGO itu sedang berikhtiar menggunakan kaedah menghanyutkan makanan yang dibungkus dalam botol dan buluh ke laut sebagai cara untuk membekalkan makanan kepada penduduk Gaza yang sedang kebuluran.
"Seperti mana yang kita ketahui, saudara kita di Gaza amat menderita dengan kebuluran sekarang. Bantuan antarabangsa memang ada tetapi dihalang untuk masuk ke Gaza.
"Sempadan dikawal ketat tentera Zionis, seperti yang kita lihat dalam laporan media," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, walaupun belum pasti keberkesanannya, misi tersebut akan dimulakan dengan 1,000 unit botol dan buluh yang diisi dengan makanan.
"Kos tidak besar tetapi sekiranya misi ini berjaya, insya-Allah ia akan menyelamatkan saudara kita di Gaza. Kita cuba ikhtiar sebaiknya untuk membantu," ujarnya.
Inisiatif itu hadir sebagai simbol solidariti masyarakat sivil terhadap penderitaan rakyat Gaza serta usaha berterusan mencari jalan kreatif menyalurkan bantuan, meskipun berdepan kepungan rejim yang mencengkam.
Untuk rekod, sejak perang Israel-Palestin pada Oktober 2023 sebanyak 64,803 penduduk Gaza telah terbunuh akibat serangan rejim dan kebuluran tanpa akses kepada bantuan makanan dan ubat ubatan.









Comments