Retorik perkauman yang dimainkan Umno dan Pas dalam kes pembunuhan ahli bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dipersoalkan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, malam tadi.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub bertanya mengapakah kes Adib masih tidak selesai biarpun kerajaan 'Melayu Raya' Perikatan Nasional (PN) telah berkuasa lebih daripada enam bulan.
"Dimomokkan, kononnya kematian ahli bomba Adib, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Cina DAP menutup kes itu.
"Kematian Adib dipolitikkan. Kita sangat sedih, bapa dia, keluarga dia sangat tertekan, kenapa pembunuh Adib tidak didakwa?
"Sekarang dah jatuh kerajaan PH, kerajaan DAP jatuh. Naik Muhyiddin Yassin, Melayu semua. Mana dia kes Adib? Siapa yang bunuh Adib?
"Dulu tuduh kita (PH) sembunyikan bukti. Nak bela India, nak bela kafir. Sekarang kamu semua dah kerajaan, apa jadi kes Adib? Tak dapat juga kemukakan (pembunuh), kerana sukar cari saksi-saksi untuk mensabitkan.
"Jadi isu perkauman, isu agama bukan isu penting. Isu penting di sini adalah untuk kita selamatkan negara," katanya dalam ceramah di Felda Besout 4, malam tadi.
Ahli Parlimen Pulai itu turut bertanya adakah para penyokong Pas sanggup memangkah logo dacing selepas pemimpin utama Umno, Najib Razak didapati bersalah menyelewengkan wang negara?
Katanya, sebagai bekas Naib Presiden Pas, beliau tahu sumpah Pas untuk tidak memangkah parti dacing yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Namun hari ini Pas menganggap BN sekutu paling baik, sedangkan kes-kes penyelewengan tidak pernah berubah daripada sifat dan cara hidup pemimpin parti berkenaan.
"Mereka (Pas) telah mengajar Umno memang parti yang tidak boleh mereka undi.
"Saya rasa inilah yang kita perlu beritahu rakan-rakan kita (dalam Pas). Saya rasa mereka yang benar-benar pejuang Pas tidak mungkin boleh memangkah lambang dacing," katanya lagi.
Justeru, Salahudin mengajak pengundi Slim memberikan isyarat jelas kepada Umno-BN bahawa mereka tidak layak lagi memerintah dengan memberi undi kepada calon Parti Pejuang Tanah Air, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang menggunakan logo 'Pokok'.
Tindakan itu, menurut Salahudin, merupakan satu pengajaran kepada BN yang selama ini mempropagandakan kepada orang Melayu bahawa pemimpin mereka dianiaya oleh PH melalui pendakwaan di mahkamah. Sedangkan, terbukti Najib dihukum bersalah oleh mahkamah pada era pemerintahan PN.
"Kalau Datuk Seri Najib hari ini telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM200 juta, rakyat kena ingat bahawa apa yang berlaku ke atas Najib itu tidak akan dapat dilakukan tanpa Tun Mahathir bersama PH menang PRU 14 dan mengheret perompak, penyamun ke mahkamah.
"Akhirnya tuduhan itu bukan fitnah, bukan rekaan tetapi telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Kalau kerajaan BN tidak tumbang, bukan sekadar penjenayah nombor 1 Malaysia tetapi nombor 1 dunia itu masih bebas menyalahguna kuasanya sebagai orang nombor 1 negara.
"Orang Felda Besout jangan fikir ini pertarungan antara Melayu dan Cina, ini bukan pertarungan perkauman atau agama. Ini pertarungan maruah untuk memulihkan kembali negara dari diperintah oleh perompak, penyamun dan pencuri," katanya lagi.
Hari mengundi bagi PRK Slim pada 29 Ogos. Tiga calon bertanding dalam PRK itu, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 (Pejuang), Mohd Zaidi Aziz, 43 (BN) dan Santhara Sekaran Subramaniam, 42 (bebas).
Comments