
Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin KEADILAN terus membuktikan keprihatinan mereka kepada rakyat di negeri itu terutama golongan pelajar.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata seramai sejuta pelajar tahun satu hingga tingkatan enam termasuk pelajar sekolah swasta di negeri itu bakal menerima perlindungan insurans secara automatik bermula sesi persekolahan yang dibuka 20 Mac depan.
"InshaAllah sebelum Ramadan kita aturkan secara automatik anak-anak yang pergi sekolah akan berdaftar dengan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) bagi perlindungan diri," katanya berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang Hulu Langat baru-baru ini.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, pembiayaan premium bagi skim perlindungan tersebut adalah daripada dana Kerajaan Negeri.
INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.
Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com.
Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya menyasarkan lima juta penduduk akan mendaftar skim terbabit sehingga hujung tahun ini.
"Setakat ini lebih tiga juta sudah mendaftar. Skim ini untuk enam juta individu dan Selangor memiliki hampir tujuh juta penduduk bermakna hampir keseluruhan rakyat akan dilindungi.
"Bukan hanya di Malaysia tetapi di Asia Tenggara juga hanya Selangor mampu beri insurans kepada rakyatnya," katanya.
YAB DS MB. Kenapa tidak tawarkan perlindungan takaful? Insurans sudah diputuskan oleh majlis fatwa Selangor adalah tidak patuh syariah