Peningkatan harga ayam dan telur sejak kebelakangan ini amat meresahkan pengguna.
Ahli Parlimen Hassan Abdul Karim (PH - Pasir Gudang) bertanya apakah usaha kerajaan untuk memastikan harga ayam dan telur serta bekalannya terjamin di pasaran.
"Saya minta YB menteri jelaskan sejauh manakah kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta Kementerian Kewangan, pertama untuk pastikan industri penternakan ayam di Malaysia dapat dimajukan.
"Juga harga ayam dan telur mampu dibeli oleh rakyat, bekalan telur dan ayam tidak terputus dan akhirnya kebergantungan terhadap subsidi dari kerajaan, adakah dapat dikurangkan beransur ansur," katanya dalam sesi soalan tambahan, pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat sebelah pagi.
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS - Kapit) menjawab, KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kewangan sentiasa bersama dalam satu kluster untuk melihat masalah berbangkit dalam hal sekuriti makanan.
"Selain itu juga ada jawatankusa lain melibatkan kementerian ini dan kementerian lain.
"Kita ada jawatankuasa jihad inflasi dan kos sara hidup dan jawatankusa teknikal. Semua masalah disebutkan tadi telah dibincang bagaimana untuk menstabilkan harga dan selesai masalah sekuriti makanan juga untuk tidak selama lamanya bergantung kepada subsidi," katanya.
Namun Menteri tidak memberikan jawapan terperinci kerana tidak mempunyai waktu mencukupi.
Comments