top of page

Sejati MADANI: Bantuan tepat sasaran resepi kejayaan komuniti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 8
  • 1 min read

Saifuddin (kanan) melawat ternakan ikan keli di  ‘Serendah Salai House’
Saifuddin (kanan) melawat ternakan ikan keli di  ‘Serendah Salai House’

Oleh: Azuan Ab Rahman


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad melahirkan rasa gembira apabila inisiatif ekonomi desa di bawah program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) terus menunjukkan hasil positif.


Beliau demikian selepas meninjau sendiri perkembangan projek penternakan ikan keli yang diusahakan di Kampung Serendah, Hulu Selangor yang digerakkan menerusi geran diperkenal Kerajaan Perpaduan itu.


"Saya berkesempatan melawat ‘Serendah Salai House’, sebuah projek penternakan ikan keli yang diusahakan oleh Ketua Kampung melalui dana geran Sejati MADANI.


"Apa yang menjadikan projek ini unik ialah pendekatan bersepadu yang diambil — bukan sekadar menternak ikan, tetapi memproses hasil ternakan menjadi produk ikan salai berkualiti tinggi," jelas beliau dalam satu hantaran di Facebook.


Berdasarkan potensi yang mampu dijana dari pendekatan lebih bersepadu, beliau menyarankan agar pendekatan sama diperluas ke kampung-kampung lain yang berminat membangunkan produk tempatan secara mampan dan bernilai tambah.


Geran Sejati MADANI merupakan antara inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk memperkasa komuniti melalui sokongan kewangan serta galakan terhadap aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian dan makanan, kraf tangan, pelancongan, hospitaliti dan inisiatif hijau.


Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi memperkukuhkan pembangunan komuniti melalui geran Sejati MADANI, dengan setiap kampung layak menerima sehingga RM100,000 dana pembangunan.


Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor berkata, inisiatif seperti Sejati MADANI membuktikan bahawa apabila bantuan kerajaan disalurkan kepada individu yang berwibawa dan berjiwa usahawan, manfaatnya bukan sahaja dinikmati secara individu, malah mampu menjana ekonomi setempat secara kolektif.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page