Segerakan pembinaan balai polis baharu Kuala Jengai - KEADILAN Dungun
- Suara Keadilan
- 11 hours ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Dungun menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menyegerakan pembinaan Balai Polis baharu Kuala Jengai yang telah lama dikenal pasti mengalami masalah kritikal apabila tiba musim tengkujuh.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Dungun, Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif (gambar), situasi balai polis di Kuala Jelai telah menjadi pengetahuan umum bahawa tapak sedia ada sering ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh sehingga operasi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas teruk.
Oleh itu, katanya tapak balai polis di kawasan yang lebih tinggi dan telah dikenalpasti perlulah disegerakan projek pembinaannya.
"Dalam keadaan yang sepatutnya PDRM menjadi tonggak keselamatan dan penyelamat kepada rakyat, telah berlaku insiden agensi lain terpaksa memindahkan anggota polis sendiri ke kawasan yang lebih selamat.
"Ini satu keadaan yang sangat tidak wajar dan mesti segera ditangani.
"Kita difahamkan bahawa lokasi balai baharu telah pun dikenal pasti iaitu di Kampung Jongok Baru, namun tiada perkembangan konkrit dilihat dalam pelaksanaan pembinaan tersebut," kata Syed Mohd Al-Amin dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan melalui KDN mempercepatkan segala proses kelulusan, perolehan dan pelaksanaan projek pembinaan balai polis baharu agar dapat digunakan sebelum musim tengkujuh akan datang.
"Kecekapan dan kesiapsiagaan pasukan PDRM amat penting, bukan sahaja untuk menjaga keselamatan awam, tetapi juga untuk memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka sentiasa dilindungi walau dalam apa jua keadaan. Kita tidak mahu isu keselamatan awam ini terus berlarutan tanpa penyelesaian.
"Zaman Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menjadi titik nokhtah kepada segala bentuk kelewatan, ketidakcekapan dan penafian hak rakyat luar bandar terhadap kemudahan asas keselamatan," katanya lagi.
Tegas Syed Mohd Al-Amin, sudah tiba masanya rakyat Kuala Jengai dan sekitarnya mendapat balai polis yang lebih selamat, moden dan mampu beroperasi sepanjang tahun tanpa gangguan banjir.
Tambah beliau, rakyat Dungun dan KEADILAN Cabang Dungun wajar dimaklumkan oleh pihak kerajaan mengenai jadual pelaksanaan pembinaan Balai Polis Baharu Kuala Jengai tersebut tanpa lengah.
Comments