'Muhyiddin hilang majoriti, kembalikan kerajaan mandat rakyat'



Ahli-ahli Parlimen KEADILAN menyokong agar segera dikembalikan kerajaan yang diberi mandat memerintah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.


Menurut Ketua Whip Parlimen KEADILAN, Datuk Johari Abdul, Ahli-ahli Parlimen yang bermesyuarat pada petang ini bersetuju agar kerajaan baharu dibentuk dan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi.


"Ahli-ahli Parlimen KEADILAN memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil mengembalikan mandat rakyat pada 9 Mei 2018 dengan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan miskin dan kaya.


"Sebarang sokongan daripada mana-mana Ahli Parlimen harus datang dari keinginan jujur mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19 yang memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, dinamik dan kuat," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Johari lagi, ahli-ahli parlimen yang bersetuju untuk membentuk kerajaan baharu haruslah menunjukkan komitmen terhadap keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan memelihara integriti kerajaan. Kerajaan juga mesti fokus memantapkan tatakelola dan melaksanakan reformasi institusi, termasuk badan kehakiman.


Sehubungan itu, Johari menegaskan kehilangan sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus ditangani segera.


"Kami turut mengambil maklum dengan kenyataan bahawa ramai Ahli Parlimen Umno BN telah beralih sokongan dan kini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti sebagai Perdana Menteri," katanya.


Selain itu, Ahi-ahli Parlimen KEADILAN turut memanjatkan doa agar Yang di-Pertuan Agong sembuh daripada kegeringan baginda dan menyelesaikan isu-isu kenegaraan dengan baik.


"Kami memanjatkan doa agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diberikan kesembuhan segera dan dikurniakan kesihatan yang baik," kata Johari lagi.


Mesyuarat ahli-ahli parlimen KEADILAN yang diadakan petang tadi membincangkan kedudukan terkini Kerajaan Persekutuan berikutan pengumuman Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September 2020 bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio