Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada pemimpin Islam serta seluruh umat Islam di serata dunia supaya berusaha memperbetulkan segala salah faham yang timbul terhadap Islam.
Presiden KEADILAN itu berkata, salah faham yang berlaku dalam kalangan orang bukan Islam terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah perlu dikenal pasti supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar di masa akan datang.
"Sebagai orang Islam, kita sentiasa menggunakan dakwah dan pelbagai lagi cara untuk orang bukan Islam memahami bahawa perpaduan bukan sekadar politik tetapi ia mesti difahami dan dihargai.
"Malah, ada dalam kalangan orang Islam yang bercakap tentang Islam, tetapi masih ada yang salah faham.
"Untuk memupuk kefahaman tentang Islam, kita perlu juga memahami falsafah agama lain kerana ia penting untuk masyarakat.
"Hanya dengan itu, baru kita akan faham mengapa orang Eropah dan Amerika masih prejudis dan salah faham terhadap Islam.
"Lihat apa yang dikatakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, seorang yang hebat dan berpendidikan tetapi bila soal agama, beliau salah faham.
"Ia satu cabaran kerana kita tak boleh biarkan mereka terus salah faham," katanya ketika Konvensyen Tahunan Persatuan Muslim Amerika yang diadakan secara atas talian.
Justeru, Anwar berkata umat Islam perlu terus mencari cara untuk mengurangkan salah faham dalam masyarakat.
"Kita akan sentiasa berdepan masalah ini kerana kurang pemahaman. Salah faham orang Barat terhadap Islam, malangnya dalam negara majoriti Islam juga ada salah faham dan kurang toleransi terhadap orang bukan Islam.
"Di Malaysia, walaupun majoriti penganut agama Islam, kita ada penganut Kristian, Buddha dan Hindu yang juga memerlukan satu sikap toleransi dan memahami satu sama lain.
"Kita perlu mencari cara untuk memahami satu sama lain. Sebelum ini kita gagal, tetapi kita perlu memastikan prinsip dan idea mengenai soal keadilan, kesaksamaan dan kesamarataan terus disebar luas dalam masyarakat," katanya.
Comments