Sedia siasatan lengkap kebakaran, segera baik pulih SM Sains Alam Shah - PM
- Suara Keadilan
- Jun 13
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan laporan siasatan lengkap insiden kebakaran Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah, Cheras disediakan segera supaya segala bentuk bantuan dan pemulihan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan.
Perdana Menteri yang turun padang meninjau kesan kebakaran itu berkata beliau tersentuh hati apabila melihat sendiri kesan kemusnahan kebakaran tersebut yang memberikan kesan kepada prasarana sekolah berkenaan dan semangat para pelajar dan warga pendidik.
"Semoga seluruh warga sekolah, para pelajar, guru dan staf terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.
"Insya-Allah, kita akan pastikan usaha pemulihan dilaksanakan sebaik mungkin demi kesinambungan pendidikan anak-anak kita," katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata insiden kebakaran itu telah memusnahkan blok pentadbiran sekolah, bilik guru, makmal dan kemudahan lain.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempermudahkan proses baik pulih bangunan sekolah berasrama penuh itu.
Beliau yang mengiringi lawatan perdana menteri itu berkata pihaknya mahu proses pemulihan sekolah berkenaan dapat dilaksanakan tanpa kelewatan birokrasi.
"Saya telah minta pihak DBKL untuk mempermudah apa jua proses yang melibatkan permohonan pembaikan infrastruktur oleh agensi berkaitan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa kelewatan birokrasi.
"Saya percaya dengan kerjasama erat antara DBKL, Kementerian Pendidikan dan agensi teknikal lain, pemulihan sekolah ini dapat dipercepat demi keselesaan dan keselamatan murid-murid," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaliha menjelaskan insiden kebakaran di SM Sains Alam Shah itu telah menjejaskan satu blok sekolah dan memberi kesan besar kepada murid-murid, guru dan seluruh komuniti sekolah.
Terdahulu Anwar tiba di sekolah itu pada pukul 2.25 petang sebelum mendengar taklimat Jabatan Bomba dan Penyelamat berkaitan laporan kejadian kebakaran itu.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Perdana Menteri turut melawat tapak cadangan pembinaan bilik guru sementara serta beramah mesra dengan para pelajar dan warga pendidik sekolah berkenaan, sebelum beredar kira-kira 20 minit kemudian.
Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, Pusat Gerakan Operasi Bomba KL menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di SM Sains Alam Shah, Cheras.
Kenyataan bomba memberitahu, tingkat tiga bangunan sekolah itu yang menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail, makmal dan beberapa bilik lain musnah dalam kebakaran namun tiada mangsa terlibat.
Kommentare