Sedar berlaku jenayah: Tun Mahathir digesa buat laporan polis atau disiasat
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 2 min read

Bekas Perdana (PM) Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digesa memberikan penjelasan dan bertanggungjawab susulan kenyataannya bahawa beliau “mengetahui” berlakunya kecurian wang parti Bersatu melibatkan Muhyiddin Yassin, yang disifatkan sebagai dakwaan jenayah serius dan tidak boleh diperlakukan sebagai retorik politik biasa.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, apabila seorang bekas PM membuat dakwaan sedemikian, isu itu tidak lagi bersifat persepsi atau sentimen politik semata mata.
"Apabila seorang bekas Perdana Menteri, pengasas dan bekas Pengerusi parti (Bersatu) menyatakan bahawa beliau tahu berlakunya kecurian, maka isu ini tidak lagi bersifat persepsi atau sentimen. Ia adalah persoalan jenayah, integriti dan kegagalan amanah awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan berkenaan menegaskan persoalan paling asas yang perlu dijawab iaitu mengapa Tun memilih untuk berdiam diri sekiranya benar beliau mengetahui berlakunya suatu kesalahan jenayah pada waktu memimpin Bersatu, beberapa tahun lalu.
"Tun Mahathir bukan individu tanpa kuasa ketika tempoh tersebut. Beliau berada di puncak kuasa eksekutif negara, mempunyai keupayaan mengarahkan siasatan dan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan undang-undang.
"Namun, tiada laporan polis dibuat, tiada siasatan diarahkan dan tiada tindakan diambil," ujarnya.
Keadaan itu, menurut Mahfuz, menjadi lebih serius apabila dakwaan berkenaan hanya didedahkan selepas hubungan politik antara Tun dan Muhyiddin berakhir.
"Ini menimbulkan persepsi yang amat serius bahawa dakwaan jenayah ini disimpan sebagai senjata politik, bukan dibangkitkan atas dasar menegakkan keadilan," katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa dalam sebuah negara hukum, tiada ruang untuk logik songsang, ‘saya tahu jenayah berlaku, tetapi saya memilih untuk diam’.
Dari sudut perundangan, jelas Mahfuz, kenyataan tersebut menyebabkan Tun kini terdedah kepada penelitian undang-undang dalam dua kemungkinan.
"Sekiranya dakwaan itu benar, maka kegagalan beliau untuk melaporkannya menimbulkan persoalan sama ada berlaku perbuatan menyembunyikan kesalahan atau keengganan melaporkan maklumat jenayah, lebih-lebih lagi apabila beliau berada dalam kedudukan berkuasa."
Sebaliknya, jika dakwaan tersebut tidak benar, ia berpotensi menjadi satu fitnah jenayah serius terhadap individu lain dan wajar dikenakan tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Tun membuat laporan polis ke atas Muhyiddin.
"Tun Dr Mahathir wajib membuat laporan polis segera dan menyerahkan segala bukti yang beliau miliki," katanya.
Sekiranya beliau terus berdiam diri, maka pihak polis atau agensi penguatkuasaan tidak wajar terus berpeluk tubuh dan seharusnya membuka siasatan.
Mahfuz menegaskan bahawa undang-undang tidak boleh tunduk kepada sejarah, umur atau gelaran.
"Jika rakyat biasa boleh disiasat kerana berdiam diri, maka negarawan juga tidak terkecuali," katanya lagi.





