Sayap Wanita KEADILAN perlu perkuat jentera menuju PRU 16
- Suara Keadilan
- May 23
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemilihan kepimpinan KEADILAN yang berlangsung pada hari ini adalah sesuatu yang amat penting kerana barisan baharu yang bakal dibentuk, akan mengemudi perjuangan parti terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Datin Faizah Ariffin menyifatkan kepimpinan baharu itu nanti akan menjadi penentu kepada nasib parti dalam landskap politik negara.
''Sekarang kita parti kerajaan. Sepatutnya kita tampilkan kepada orang luar bahawa kita gah dan kuat kerana kurang dua tahun dari sekarang, kita akan berhadapan dengan PRU16.
''Jadi saya harap wanita-wanita semua yang masih lagi bersama dengan kita petang ini, balik nanti perkuatkan jentera di setiap kawasan masing-masing.
''Sebab paling penting untuk Wanita KEADILAN adalah mencapai kemenangan pada PRU itu nanti,'' katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Wanita KEADILAN Ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen Danga Bay (DBCC), di Johor Bahru, hari ini.
Dalam pada itu, Faizah turut meniupkan semangat kepada ratusan perwakilan yang hadir dengan mengingatkan mereka bahawa KEADILAN bukan lagi parti nyamuk seperti yang dilabel sesetengah pihak.
''Hari ini, selepas 25 tahun kita berjuang, kita adalah sebahagian daripada parti kerajaan.
''Kita bukan lagi parti serpihan, atau pernah kita dipanggil parti nyamuk (sebelum ini),'' ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi Naib Ketua sayap wanita iaitu Sangetha Jayakumar pula memberikan penekanan kepada anggota parti agar memantapkan lagi semua segmen yang ada.
''Yang menang dan yang baharu perlu hadir latihan dan memahami bagaimana kita menguruskan parti ini.
''Selain itu, kena juga faham macam mana kita melibatkan diri dalam pilihan raya sekali gus memastikan dasar-dasar MADANI sampai ke akar umbi dalam apa jua cara sekali pun,'' katanya dalam ucapan itu.
Comments